Isnin, 27 Julai 2015

Ayat-Ayat Alkitab Ditemukan Pada "Gulungan Ibrani Paling Kuno Sejak Penemuan Gulungan Laut Mati"

Ahli-ahli sains "terkejut besar" menemukan ayat-ayat Alkitab dari gulungan yang hangus ini
(Foto: Pihak Berkuasa Antik Israel/Shai Halevi)

Satu gulungan yang yang dipercayai berusia 1,500 tahun telah digali keluar berdekatan Laut Mati pada tahun 1970, tetapi para penyelidik baru sahaja berjaya mentafsirkan kandungan penemuan itu yang mereka gelar sebagai "gulungan Ibrani yang paling kuno ditemui sejak Gulungan-Gulungan Laut Mati."

Walaupun gulungan itu terbakar hangus dan digulung dengan ketat, ahli-ahli sains telah menggunakan teknologi pengimbas CT untuk menghasilkan imej keratan halaman, dengan demikian menunjukkan teksnya tanpa perlu membuka dokumen itu - yang kemungkinan akan lebih merosakkan ataupun menghancurkannya sama sekali.

Pihak Berkuasa Antik Israel pada hari Isnin mengumumkan bahawa gulungan yang hangus yang dijumpai di En Gedi berdekatan Laut Mati 45 tahun yang lalu adalah sebenarnya satu salinan ayat-ayat permulaan buku Imamat yang menerangkan hukum-hukum untuk korban bakaran. 

"Sehingga kini, ini adalah gulungan paling kuno daripada lima buku dalam Alkitab Ibrani sejak Gulungan-Gulungan Laut Mati, yang kebanyakan diberikan tarikh penghujung era Bait Allah yang kedua (kurun pertama Sebelum Masihi - kurun pertama Selepas Masihi)," begitu kenyataan daripada Pihak Berkuasa Antik Israel.


Gulungan itu menjalani imbasan CT sepanjang setahun untuk mengesan kandungannya
(Foto Pihak Berkuasa Antik Israe/Orit Rosengarten)

Ahli-ahli kaji purba percaya ianya telah disimpan dalam satu tabut di sebuah rumah ibadah di En Gedi yang dikunjungi oleh orang-orang Yahudi yang tinggal di kawasan itu semasa kurun keenam Selepas Masihi. 

Kedua-dua ahi-ahli sains Amerika dan Israel telah terlibat dalam usaha sepanjang tahun yang rumit itu untuk memperlihatkan kandungan teks kuno itu. 

Dengan menggunakan mesin pengimbas mikro CT, Merkel Technologies Ltd,. sebuah syarikat Israel telah melakukan pengimejan resolusi tinggi dari serpihan En Gedi itu, dan menghasilkan imej-imej 3D.

Brent Seales daripada Universiti Kentucky kemudiannya menggunakan perisian pengimejan digital untuk "secara maya membuka gulungan itu dan melihat teks itu," Pihak Berkuasa Antik berkata. "Dengan itu kejutan dan keterujaan besar terjadi apabila lapan ayat pertama daripada buku Imamat tiba-tiba menjadi jelas."

Pihak Berkuasa Antik telah mengeluarkan video-video yang menunjukkan proses maya membuka gulungan itu.







Ahli-ahli kaji purba yang bersama Pihak Berkuasa Antik percaya bahawa ini adalah kali pertama satu gulungan Taurat telah ditemui di sebuah rumah ibadah Yahudi kuno yang digali keluar. 

"Pentafsiran gulungan itu, yag menjadi tanda soal kepada kami selama 45 tahun adalah sangat mengujakan," kata Sefi Porath, ahli kaji purba yang menjumpai gulungan itu pada 1970.

Dia menerangkan bahawa semasa zaman Byzantine dari kurun keempat hingga ketujuh Selepas Masihi, En Gedi adalah sebuah perkampungan Yahudi, Rumah ibadah mereka telah dihiaskan dengan "lantai mozek yang sangat cantik" dan memiliki satu tabut suci untuk menyimpan gulungan kitab Tauratnya.

Selepas kampung itu kebakaran, penghuninya melarikan diri dan tidak pernah kembali untuk mengambil barangan milik mereka.

Porath dan pasukannya telah menemukan di tapak itu kaki dian berlilin tujuh yang diperbuat daripada gangsa (menorah), peti wang masyarakat dengan lebih kurang 3,500 syilling, pelbagai pelita dan bekas minyak wangi.

Porath mengatakan bahawa para penyelidik tidak tahu punca kebakaran itu, tetapi terdapat beberapa teori termasuk "penyerang Badwi dari kawasan timur Laut Mati hingga ke konflik dengan kerajaan Byzantine."

"Penemuan ini benar-benar membuat kami terkejut besar," kata Pnina Shor, kurator dan pengarah di bahagian Gulungan-Gulungan Laut Mati di Pihak Berkuasa Antik. "Kami pasti bahawa ianya hanya tekaan liar tetapi mengambil juga keputusan untuk mencuba dan mengimbas gulungan terbakar itu."

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel The Blaze bertajuk "Scientists Were 'Astonished' To Find Bible Quotes On "Most Ancient Hebrew Scroll Since The Dead Sea Scrolls'" penulisan Sharona Schwartz bertarikh 21 Julai 2015)