Sabtu, 25 Julai 2015

Di Manakah Ayat-Ayat NIV Yang Hilang Itu?

Beberapa orang telah memberitahu saya mengenai satu catitan yang menjadi viral di media sosial mengenai ayat-ayat Alkitab yang didakwa kehilangan daripada terjemahan NIV dan beberapa terjemahan modern. Berikut ialah contoh catitan yang mungkin anda telah lihat dalam Timeline FB anda.



Tentu saja kita boleh faham bahawa orang-orang yang menghargai Alkitab akan menunjukkan reaksi kuat apabila mendengar bahawa seseorang atau sesuatu syarikat telah "mengubah" Firman Tuhan. Bagi orang-orang Kristian yang mendasarkan iman mereka pada apa yang tertulis dalam Alkitab, tidak ada hal yang lebih bersifat pencabulan daripada mengubahkan teks yang dianggap sebagai kata-kata Allah sendiri. Bagaimanapun kali ini, ianya jelas adalah satu tuduhan yang silap. Satu lagi kes klasik bahawa kita harus "berfikir sebelum mengklik" sebelum menyebarkan apapun di media sosial. Berikut beberapa ulasan pendik mengenai di manakah ayat-ayat NIV yang hilang itu:

1. Ayat-ayat yang dikatakan hilang itu sebenarnya tidak hilang ataupun lenyap. Pembaca yang teliti akan perhatikan bahawa ayat-ayat itu telah diletakkan di bahagian nota kaki dengan penjelasan bahawa "manuskrip-manuskrip yang lebih kukuh" tidak mengandungi ayat-ayat tersebut.

2. Kita perlu memahami bahawa Alkitab yang kita baca sekarang adalah dalam bahasa Inggeris, kesemuanya (termasuk King James Version) adalah cuma terjemahan daripada bahasa-bahasa asli dalam Alkitab - bahasa Ibrani untuk Perjanjian Lama dan bahasa Yunani untuk Perjanjian Baru. Tidak ada terjemahan yang boleh mengaku sebagai versi yang "asli" atau yang "terakhir". 

3. Pelbagai terjemahan Alkitab yang kita ada hari ini adalah berdasarkan sejumlah besar manuskrip, ada yang lebih tua usianya daripada yang lain, yang merupakan salinan-salinan terkumpul daripada pelbagai buku dalam Alkitab sejak waktu yang terawal.
  

4. Untuk Perjanjian Lama, penemuan oleh ahli-ahli kaji purba baru-baru ini menunjukkan bagaimana proses penyalinan teks yang begitu teliti oleh jurutulis-jurutulis Yahudi telah memelihara isi kandungan dalam setiap buku. Manuskrip Ibrani purbakala yang telah digali berdekatan Laut Mati membuktikan ini. Apabila kita meletakkan manuskrip yang dijumpai di gua-gua itu bersebelahan teks terjemahan modern Perjanjian Lama hari ini, perbandingan itu sangat mirip. Mengkagumkan: kedua-duanya hampir serupa 99%!

5. Untuk Perjanjian Baru pula, terdapat jumlah salinan yang besar manuskrip dari purbakala untuk setiap buku (5,000 lebih kesemuanya berbanding dengan hanya beberapa salinan karya sekular seperti Plato, Aristotle dan sebagainya). Ini memperbolehkan penterjemah-penterjemah zaman modern untuk membina kembali dengan baik apa yang ada dalam teks asli dan menyampaikannya dalam bahasa-bahasa hari ini seperti Inggeris atau Tagalog.



6. Manuskrip-manuskrip itu tidaklah serupa sepenuhnya dan tidak setiap kali sama. Ini dapat difahami sebab sebahagian daripada manuskrip-manuskrip itu telah ditulis atau disalin lebih awal daripada yang lain. Tidak seperti manuskrip-manuskrip Perjanjian Lama, Perjanjian Baru tidak mendapat penyalinan yang seketat seperti yang dilakukan oleh jurutulis-jurutulis Yahudi. Ada di antaranya dalam usaha menyebarkan sebanyak mungkin salinan daripada surat Paulus atau Petrus, menyalin dengan cepat dan kadangkala tidak cermat. Kejadian-kejadian seperti ini menerangkan "perbezaan-pernbezaan" di antara manuskrip-manuskrip Perjanjian Baru (juga dikenali sebagai "variasi-variasi").

7. Para penterjemah menggunakan beberapa kriteria untuk menentukan "bacaan" atau "penyampaian" yang paling tepat bagi sesuatu ayat tertentu berdasarkan apa yang terdapat dalam manuskrip-manuskrip. Satu daripadanya ialah mengambil kira usia manuskrip - lebih tua, lebih kukuh, dan dengan itu, kemungkinannya "penyampaian" yang lebih baik untuk teks itu. Satu lagi ialah mengambil kira kepanjangan ayat itu: secara umumnya, ayat yang lebih pendik, lebih kemungkinannya ayat yang "tulen".



8. Dengan menggunakan hasil daripada penemuan dan kajian modern oleh sarjana dan penterjemah Alkitab, sebilangan ayat/perenggan yang dulunya disertakan dalam terjemahan-terjemahan lama Alkitab seperti KJV telah "diperdebatkan" berkenaan "ketulenannya" atau mengenai penyampaiannya yang tepat.

9. Ini termasuklah ayat-ayat tunggal seperti dalam 1 Yohanes 5:7, "Sebab ada tiga yang memberi kesaksian (di dalam sorga: Bapa, Firman dan Roh Kudus; dan ketiganya adalah satu." Sementara ini boleh menjadi ayat yang paling bagus untuk membuktikan doktrin Tritunggal, hanya beberapa manuskrip yang mengandunginya, dan manuskrip-manuskrip itu memiliki tarikh penulisan yang terlalu "lewat" berbanding dengan manuskrip-manuskrip yang lebih awal. Tentu sekali, terjemahan-terjemahan yang lebih baru terpaksa menggugurkan bacaan ini dan meletakkannya di nota kaki sekiranya orang-orang yang sudah terbiasa dengan KJV masih mencarinya.

10. Ini juga termasuk bahagian-bahagian penuh perenggan seperti Yohanes 7:53-8:11, dan Markus 16:9-20. Walaupun kedua-duanya telah menjadi sebahagian daripada Alkitab King James Version dan terjemahan-terjemahan lama yang lain, persetujuan umum sarjana-sarjana Alkitab hari ini yang memeriksa manuskrip-manuskrip Perjanjian Baru adalah bahawa kedua-dua perenggan itu adalah kemungkinan besar bukan sebahagian daripada "teks asli" dalam kedua-dua buku Yohanes dan Markus.

11. Ringkasnya, terjemahan yang lebih lama tidak bererti terjemahan yang lebih baik. Pertubuhan-pertubuhan Alkitab pada zaman kita sedang berusaha menggunakan kesarjanaan terbaik yang dapat diperolehi untuk menyediakan bagi kita terjemahan-terjemahan yang dikemaskini dan yang tepat, kukuh dan jelas.



12. Kita perlu ingat bahawa setiap terjemahan dilakukan untuk memenuhi keperluan tertentu. Terjemahan seperti New American Standard Bible (NASB) berusaha untuk memberikan kita versi kata-untuk-kata yang paling menyerupai bentuk asalnya dalam bahasa Ibrani dan Yunani. Dengan demikian, ianya mengorbankan sedikit "kelancaran pembacaan." Versi-versi seperti Good News Translation (GNT), New Century Version (NCV) dan termasuk juga "The Message" berusaha memberikan versi yang mudah dibaca dan difahami. Tetapi dengan demikian, ianya mengorbankan sebahagian "kedekatan" dengan teks asli Yunani sambil ianya cuba mengemaskini peristilahan [contoh: "flashlight" (lampu picit) untuk "lamp" (pelita) dalam Mazmur 119:195]. dan untuk mentafsirkan bagi kita kata-kata tertentu yang sukar difahami (contoh: daripada mengatakan "propitiation," ianya mengatakan "a sacrifice to take away our sins" dalam 1 John 4:10 Alkitab NLT). Seperti lazimnya dalam kehidupan, kita tidak boleh meletakkan segalanya dalam satu piring. Tetapi itu tidak harus menghalang kita daripada mendapatkan piring yang baru dan mencuba hidangan yang baru. Oleh itu membandingkan pelbagai terjemahan adalah satu amalan yang baik dalam pembacaan Alkitab.


Jenis-Jenis Terjemahan Alkitab; Kata-Untuk-Kata, Maksud-Untuk Maksud, dan Parafrasa

Akhirnya, biarlah saya kongsikan jawapan "biasa" saya kepada soalan yang sering ditanya: Yang manakah terjemahan yang TERBAIK?

"Terjemahan Alkitab yang terbaik ialah yang anda BACA."

Nota tambahan:
Berkenaan Zondervan, penerbit NIV: adalah benar bahawa HarperCollins yang dimiliki oleh News Corporation kepunyaan Rupert Murdoch, telah membeli Zondervan pada tahun 1988. Murdoch juga memiliki syarikat penerbitan HarperOne. Dan ya, HarperCollins juga adalah penerbit The Satanic Bible. Macam mana pun ianya BUKANLAH sebuah syarikat Kristian. Tetapi mungkin ada orang-orang lain yang akan minat untuk mengetahui bahawa penerbit King James Version (KJV), Thomas Nelson Inc., juga telah dibeli oleh HarperCollins pada tahun 2011.

(Dipetik dan diterjemah daripada cetusan rasa Rei Lemuel Crizaldo dalam artikel bertajuk, "Where Are The Missing Verses In The NIV" yang bertarikh 13 Julai 2015)