Khamis, 16 Julai 2015

Adakah Alkitab NIV Melenyapkan 64,575 Perkataan?

Oleh Christopher D. Hudson:

Saya jarang melibatkan diri dalam perdebatan mengenai terjemahan Alkitab. Sebenarnya, saya jarang mengambil bahagian dalam kebanyakan perdebatan, sebab saya percaya misi saya ialah untuk mendorong orang untuk membaca, merenung dan mengapplikasikan apa yang tertulis dalam Alkitab.

Selagi orang membaca Firman Tuhan, saya tidak mengambil hal dengan pelbagai pendapat mengenai terjemahan-terjemahan Alkitab, gaya penyembahan, denominasi gereja dan sebagainya. Saya gembira bahawa kita sama-sama berkongsi iman dalam Tuhan Yesus Kristus, iaitu perkara yang pertama dan utama, dan saya berharap dapat berjalan bersama saudara-saudara seiman saya sambil kita melangkah dalam perjalanan bersama Yesus. 

Namun begitu, saya merasa bahawa saya harus berbicara apabila kepercayaan kita pada Firman Tuhan di dalam bahaya dilemahkan oleh kerana serangan orang tertentu ke atas terjemahan-terjemahan tertentu Alkitab. Seseorang yang hanya mengesyorkan KJV (King James Version) dan percaya bahawa mana-mana terjemahan modern adalah satu kejahatan akan menjejaskan iman orang-orang yang memilih untuk membaca dan mengkaji Firman Tuhan dalam terjemahan yang selain daripada KJV. 

Mengenai latar belakang saya, saya memiliki ijazah dalam bahasa-bahasa kuno (Bahasa Yunani Perjanjian Baru). Saya memiliki cinta untuk banyak terjemahan Alkitab, kerana terjemahan-terjemahan itu telah membantu ramai orang (termasuklah saya) dalam perjalanan mereka bersama Kristus. Saya gemar selalu membaca daripada KJV, NIV, ESV, NLT dan lain-lain.

CINTA SAYA UNTUK KJV

Saya sangat mencintai King James Version (KJV). Sebenarnya, saya juga berkhidmat sebagai editor untuk sebuah King James Study Bible. Tuhan telah memakai KJV dengan berkuasa sekali selama berabad-abad, tetapi ianya hanyalah terjemahan dari Alkitab asal bahasa Ibrani dan Yunani.

Saya percaya dengan sungguh bahawa Firman Tuhan itu sempurna. Tetapi saya tidak mahu menyamakan  Firman Tuhan (dalam teks asal Ibrani dan Yunani) dengan usaha terjemahan manusia yang tidak sempurna. Firman Tuhan adalah sempurna. NIV tidaklah sempurna. Begitu juga ESV. Dan juga setiap terjemahan -  termasuk KJV kesayangan saya.

Tidak ada apa-apa di dalam Alkitab yang menunjukkan bahawa Tuhan memberi berkat yang istimewa kepada terjemahan Martin Luther, terjemahan John Wycliffe, atau kepada terjemahan King James.

Saya mengatakan itu bukan untuk menjejas Alkitab, sama sekali tidak. Tuhan itu sempurna, dan Injil itu sempurna. Firman-Nya sempurna. Salah satu faedah memiliki begitu banyak terjemahan ialah kita boleh berusaha memahami dengan lebih baik teks seperti yang telah ditulis beribu tahun yang lalu.

ZONDERVAN / HARPERCOLLINS

Sesetengah orang yang mendukung KJV dan menyerang NIV, secara terbuka mengecam pihak yang menerbitkan dan mendukung NIV. Saya menjelaskan secara terbuka, saya bersahabat secara peribadi dengan editor-editor di Zondervan yang menerbitkan Alkitab NIV. Kami sering berbalas emel dan berbual-bual melalui telefon. Saya boleh memberitahu anda bahawa mereka adalah pengikut-pengikut Kristus yang beriman dan rendah hati. Mereka terlibat secara aktif dalam pelayanan dan gereja-gereja tradisi. Saya telah mengenali sebahagian daripada kakitangan mereka selama hampir 20 tahun; kami telah saling mendorong dalam iman dan perjalanan hidup dalam Kristus. Saya tidak ada sebarang keraguan mengenai komitmen mereka sebagai Kristian atau kesungguhan mereka untuk memelihara Firman Tuhan.

Zondervan dimiliki oleh HarperCollins, dan HarperCollins dimiliki oleh News Corp. Sebagai syarikat-syarikat korporat awam (yang diketuai oleh Rupert Murdoch), syarikat-syarikat ini bukanlah syarikat "Kristian." Namun begitu, pemimpin-pemimpin organisasi-organisasi ini telah dengan hikmat menyedari bahawa mereka akan dapat menjana lebih banyak wang jika mereka mengizinkan Zondervan untuk menunaikan misinya yang didorong oleh iman dan berpaksikan Yesus. Sebenarnya, ketua bahagian penerbitan Alkitab Zondervan pernah melayani sebagai seorang pastor secara jangka panjang. Saya baru bercakap dengan dia melalui telefon minggu ini mengenai cinta kami untuk Yesus, pengajaran Kristus dan kebenaran mengenai injil.

Umat Kristian tidak ada dasar untuk mengkritik NIV berdasarkan penerbitnya. Walaupun syarikat atasannya, News Corp, adalah sebuah syarikat sekular yang ingin mencari keuntungan, ianya tidak campur tangan terhadap para editor Kristian yang memelihara kesejatian Firman Tuhan di Zondervan. Saya percaya bahawa Tuhan telah memberkati usaha-usaha Zondervan sehingga ianya adalah di antara syarikat yang paling menguntungkan di HarperCollins.

ADAKAH NIV MEMINDAHKAN 64,575 PERKATAAN DARIPADA ALKITAB?

Satu dakwaan telah dibuat bahawa penterjemah-penterjemah NIV telah memindahkan sejumlah besar perkataan daripada teks NIV. Ini mungkin tuduhan yang paling tidak berasas dan tidak berdasarkan maklumat betul mengenai NIV yang pernah saya dengar. Saya mengagak bahawa orang yang membuat dakwaan ini telah melihat kiraan kata keseluruhan dalam KJV dan NIV dan melihat perbezaannya. Atau mungkin mereka menghitung semua kata-kata "thee" dan "thou" (yang bererti "you" dalam bahasa klasik Inggeris KJV) yang tidak ada dalam NIV? Sebenarnya, saya tidak dapat memikirkan bagaimana mereka boleh mendapatkan angka seperti itu.

Jadi adakah penterjemah-penterjemah NIV memindahkan kata-kata yang ada dalam KJV? Ya. Matlamat mereka ialah untuk menterjemahkan maksud asal penulis-penulis Alkitab dengan bilangan perkataan yang berkurangan. Adakah dengan cara begitu, ianya menjejaskan atau menghilangkan maksud Alkitab? Tidak. (Penterjemahan dari satu bahasa ke bahasa lain adalah bersifat dinamik dan tidak pernah dari kata ke kata. Penterjemah yang paling baik dalam apa jua keadaan boleh menyampaikan maksud sebenar dengan perkataan yang kurang bilangannya).

Sesetengah orang telah mengkritik NIV kerana telah mengeluarkan istilah "Holy Ghost." Itu pemikiran yang bukan-bukan. Penterjemah-penterjemah NIV menggunakan "Holy Spirit" yang pada asasnya istilah yang sama. Secara peribadi, saya percaya bahawa "Holy Spirit" kemungkinan terjemahan yang lebih baik dan lebih tepat untuk pembaca zaman modern. (Adakah lebih baik untuk memberitahu anak-anak bahawa Allah itu "Ghost" atau Allah adalah "Spirit"? Sesiapa yang menyatakan perubahan kata ini sebagai alasan menentang NIV menunjukkan bahawa mereka hanya bersifat menghasut dan tidak jujur secara akaliah.

ADAKAH NIV MENGGUNAKAN MODEL TERJEMAHAN YANG PELIK?

Langsung tidak! NIV sering diserang oleh kerana ianya adalah terjemahan yang paling popular. Walau bagaimanapun, falsafah terjemahan yang sangat hampir serupa diikuti oleh penterjemah-penterjemah di ESV dan NLT. Jika anda menolak NIV, anda juga menolak boleh dikatakan semua terjemahan modern yang mengikuti falsafah terjemahan yang serupa.

ADAKAH NIV MEMINDAHKAN AYAT-AYAT DARIPADA ALKITAB?

Satu lagi faktor dalam perdebatan mengenai terjemahan Alkitab adalah dari mana datangnya teks-teks Ibrani dan Yunani itu. Saya percaya bahawa teks-teks Yunani dan Ibrani yang digunakan oleh penterjemah-penterjemah modern untuk terjemahan-terjemahan kebelakangan ini (NIV, NLT, ESV dan sebagainya) adalah lebih tepat.

KJV telah diterjemahkan pada 1611 daripada suatu koleksi teks Yunani, yang dikenali sebagai Textus Receptus. Textus Receptus ialah koleksi manuskrip yang amat baik, dan membacanya (atau Alkitab yang diterjemahkan daripadanya) boleh mengajar seseorang dengan baik mengenai Allah, Yesus dan injil. Tetapi tidak ada ayat Alkitab yang mengatakan bahawa Textus Receptus adalah diilham terus dari Tuhan. Saya percaya versi yang diilham terus dari Tuhan adalah manuskrip-manuskrip asal yang telah ditulis penulis-penulis asalnya.

Masalahnya adalah dalam masa lebih seribu tahun, orang telah menyalin Alkitab perkataan demi perkataan. Dan manakala penyalin-penyalin yang cemerlang ini telah menyalin dengan ketepatan 99.99%, adakalanya mereka membuat kesilapan. Bagi saya, yang mengkagumkan ialah bagaimana penyalin-penyalin ini telah mengekalkan ketepatan yang tinggi ini sewaktu menyalin dari seorang ke seorang.

Sambil kesarjanaan bahasa dan ilmu kaji purba makin meningkat, kita telah dapat kembali kepada manuskrip-manuskrip yang kelihatan lebih menyerupai autograf asli yang telah ditulis sebaik sahaja selepas masa Kristus. Sambil kita lebih mendekati kepada yang asal, kita telah menemukan beberapa masalah pada Textus Receptus. Manakala beberapa masalah ini tidak merupakan percanggahan dengan injil, ianya telah menunjukkan beberapa perubahan kecil.

Sebagai contoh, kelihatannya terdapat lebih kurang 45 ayat yang penulis-penulis Perjanjian Baru sebenarnya tidak masukkan dalam penulisan asal mereka. Penyalin-penyalin yang bermaksud baik kelihatannya telah menyelitkan ayat-ayat itu melalui peredaran berabad-abad untuk membantu menjelaskan satu ayat atau satu perenggan untuk membantu pemahaman para pembaca.

Namun begitu, tidak satu pun daripada 45 ayat itu mengubah mana-mana kepercayaan asas injil. Mereka hampir kesemuanya merupakan penjelasan. Iman saya kukuh dalam Allah, Yesus dan keselamatan melalui penebusan dosa sekalipun 45 ayat itu tidak ada di situ (dan jika mereka ada, ianya tidak mengubah apa-apa). Terjemahan-terjemahan modern (termasuk NIV) sering dikritik kerana mengeluarkan 45 ayat itu. Sebenarnya, mereka telah melakukan usaha yang lebih baik dalam mengekalkan Alkitab yang asal kerana kelihatannya 45 ayat itu tidak ada dalam yang asal. (Juga 45 ayat itu sebenarnya tidak dilenyapkan daripada Alkitab NIV - setiap ayat itu boleh didapati dalam setiap naskah NIV dan dapat ditemui di nota kaki NIV).

KETEPATAN ALKITAB DAN IMAN SAYA

Subjek kritikan teks (textual criticism) ialah bidang yang telah saya kaji dengan meluas. Iman saya pada Tuhan, dan pada Tuhan yang dikisahkan oleh Alkitab. Harapan saya ialah pada Yesus. Jika saya tidak dapat percaya pada manuskrip-manuskrip Yunani dan Ibrani, saya tidak akan memiliki iman yang teguh. Setelah mengkaji dengan mendalam sekali, saya mendapat kesimpulan bahawa manuskrip-manuskrip Yunani dan Ibrani adalah sangat tepat. Mereka telah merekod kata-kata dan pengajaran Yesus dengan tepat sekali. Oleh itu iman saya teguh.

Adalah mudah untuk melontar batu, tetapi saya bimbang bahawa mereka yang menentang dan menyerang NIV (atau terjemahan lain) melakukannya dengan cara yang melukakan orang-orang Kristian dan iman mereka. Tapi syukur, Yesus lebih besar daripada usaha kita secara manusia untuk memenangi perdebatan. Saya berdoa Dia akan terus ditinggikan meskipun terdapat beberapa orang Kristian - yang walaupun bertujuan baik - terus mencemarkan kasih dan injil-Nya dalam usaha mereka untuk memelihara apa yang mereka percaya adalah kebenaran.

(Diterjemah daripada artikel Read, Engage, Apply bertajuk "Did The NIV Delete 64,575 Words?" penulisan Christopher D. Hudson bertarikh 13 Julai 2015)