Sabtu, 4 Julai 2015

Orang-Orang Islam Dan Kristian Di Miri Mengadakan Majlis Berbuka Puasa Bersama-Sama

Pemimpin-pemimpin masjid dan gereja bertukar-tukar kuih-muih di hadapan Gereja Good
Shepherd (dengan atap merah) dan Masjid An-Naim dekat Bandaraya Miri di Sarawak

MIRI: Orang-orang Islam dan Kristian telah mengadakan satu sesi berbuka puasa bersama-sama di sebuah masjid dan gereja yang telah didirikan bersebelahan satu sama lain di Bandaraya Miri. 

Acara semalam telah dihadiri oleh orang-orang Islam dan orang-orang Kristian dari gereja-gereja Anglikan, Katolik, SIB, dan Methodis dan telah menjadi satu tradisi yang unik yang mencerminkan hubungan istimewa di kalangan umat dari semua latarbelakang agama di sini.

Masjid An-Naim dan Gereja Good Shepherd hanya berjarak kurang 100 meter dari satu sama lain di bazar Lutong, yang terletak 10 km di utara Bandaraya Miri. 


Masjid An-Naim dan Gereja Good Shepherd,
yang bersebelahan satu dengan lain di Lutong,
Miri selalu berkongsi ruang letak kereta mereka
Pengurusan masjid dan gereja berkongsi ruang letak kereta satu dengan lain. 

Pada hari Jumaat, gereja akan membuka pagarnya untuk orang-orang Islam meletakkan kereta mereka ketika waktu solat.

Pada hari Ahad, masjid akan membuka pagarnya untuk orang-orang Kristian yang pergi ke gereja untuk menggunakan ruang letak kereta mereka. 

Pada acara-acara khas seperti sesi berbuka puasa, orang-orang Islam dan Kristian akan datang bersama untuk jamuan malam. 


Semalam, Imam Mohd Zulkifli Mohd Adnan dan pastor gereja itu, Donald Jute, bersama dengan kumpulan-kumpulan mereka dan pemimpin-pemimpin gereja dan masjid yang lain bertukar-tukar kuih dan buah-buahan sebelum ke kawasan perkarangan masjid untuk berbuka puasa. 

Pembantu Menteri Sarawak untuk Komunikasi Datuk Lee Kim Shin merupakan tetamu kehormat, bersama dengan setiausaha agung Sarawak United People's Party, Datuk Sebastian Ting dan ketua perhubungan parti Adam Yii.

Lee yang merupakan ahli dewan undangan negeri untuk Senadin, berkata kerajaan negeri amat gembira untuk melihat kesatuan yang begitu unik di antara kaum dan agama di Miri.

"Ini adalah sesuatu yang sangat bernilai untuk dapat menikmati penerimaan antara kaum dan agama yang begitu ikhlas," katanya.

Menurut Mohd Zulkifli dan Jute, masjid dan gereja itu telah berkongsi ruang letak kereta sejak 50 tahun yang lalu. 

"Ianya sudah menjadi cara hidup kami untuk berkongsi ruang letak kereta dan bertemu dalam majlis-majlis perjumpaan. Bagi kami, orang-orang Islam dan Kristian adalah satu keluarga yang besar," kata Mohd Zulkifli. 

"Semangat saling menerima terjadi secara semulajadi di sini," kata Jute.