Rabu, 4 November 2015

Diselamatkan Oleh Malaikat - Kesaksian Damien Chua


Damien Chua
Pada sekitar 4 petang, pada 4 Ogos 2004, Damien Chua berhenti di sebuah stesen minyak di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur. Sambil dia mengisi minyak ke dalam keretanya, dua lelaki berusia dua puluhan mendekatinya, mendakwa diri mereka adalah pembantu stesen dan menawarkan untuk membantunya. Chua menolak dan mereka mula berbual-bual dengannya.

Walaupun dia merasa syak, Chua cuma menyangka bahawa mereka ingin menjual barangan curi kepadanya. Sambil dia bersiap untuk pergi, seorang daripada mereka mengeluarkan sebilah parang yang telah disembunyikan dalam bajunya.

Mereka kemudian memaksa Chua untuk duduk di kerusi penumpang depan, dan selepas mereka memasuki kereta, pemandu itu menetak dan menyebabkan luka yang dalam pada lengan Chua sebagai amaran kepadanya. Rakannya yang duduk di belakang Chua menyuruhnya menghulurkan tangan kanannya ke belakang, dan memegang pisau di pergelangan tangannya untuk menghalang cubaan melepaskan diri. Semua ini berlaku dalam beberapa saat sebelum kereta dipandu dengan laju dari situ.

Semasa kejadian getir itu, Chua ditampar berkali-kali dan dompet, kad ATM dan jam tangannya dirampas. Tidak puas dengan perolehan mereka, penculik-penculik itu ingin membawanya ke bank terdekat untuk mengeluarkan wang daripada mesin ATM. Salah seorang mereka berkata, "Hari ini you mesti mati punya."

Ketakutan akan nyawanya, Chua memanggil kepada Tuhan dalam hatinya, "Tuhan, hanya Engkau yang tahu apa yang sedang berlaku padaku, hanya Engkau sajalah yang dapat menolongku."

Sambil dia berdoa, suatu damai yang luar biasa menyelubunginya dan dia mulai berdoa dalam bahasa roh secara senyap-senyap. Selepas memandu selama 10 minit, mereka berhenti di bulatan Duta-Segambut (sekarang flyover ke Segambut) di tengah kesesakan lalu lintas.

Malaikat Menjelma

Pemandu merencana untuk memandu terus ke Jalan Ipoh, dan kemudian ke Sentul, tetapi tiba-tiba seorang yang tidak dikenali dan yang tinggi lampai berbaju lengan pendik tiba-tiba muncul. Dia membuka pintu pemandu kereta dan berkata dengan suara memerintah, "Keluar sekarang!"

Pemandu itu menutup pintu dengan kuat sambil panik dan membelok ke kiri mengikut lalulintas yang sedang bergerak ke Jalan Kuching, daripada menuju ke hadapan. Selama beberapa minit, kereta itu dipandu dengan laju sambil pemandu itu yang terkejut membelok ke kiri dan ke kanan melalui lalulintas, tidak henti-hentinya melihat ke cermin belakang, menyangka akan dikejar oleh orang yang tidak dikenali itu.

Berfikir bahawa mereka tidak dapat melepaskan diri, pemandu itu dengan sengaja melanggar penghadang konkrit di sebelah penumpang, berharap dapat membunuh Chua. Mereka kemudian keluar dari kereta dan berlari dari situ. Pada sejenak itu, dua anggota polis yang sedang membuat rondaan di lebuhraya, melihat penculik-penculik itu dan terus mengejar. Polis berjaya menangkap seorang daripada mereka.

Hentaman daripada kemalangan itu telah menyebabkan kereta itu terbakar, tetapi menakjubkan sekali, Chua terselamat dengan hanya satu luka yang beberapa sentimeter dalamnya.

Tanpa diketahui oleh Chua, Tuhan sedang melaksanakan rencana-Nya untuknya. Pertamanya, Dia menunjukkan kepada Chua bahawa Dia telah campur tangan dalam situasi itu untuk menyelamatkannya. Chua merasakan sesuatu yang luar biasa sudah terjadi apabila polis memberitahunya bahawa "orang yang memberi bantuan" (yang telah membuka pintu pemandu kereta) bukanlah seorang pegawai polis berpakaian awam. Apabila disuruh menceritakan mengenai "orang yang memberi bantuan" itu, penculik itu kemudiannya memberikan gambaran yang sama seperti yang telah diberikan oleh Chua, tetapi menambah bahawa lelaki itu berpakaian serba putih.

Pada keesokan harinya, seorang pastor yang merupakan kenalan Chua, memberitahunya bahawa Tuhan telah menghantar malaikat itu untuk menyelamatkannya. Selepas itu Chua mengikuti suatu konferensi Kristian di mana seorang peserta konferensi mendekatinya dengan mesej yang sama.

Apabila Chua kembali ke rumah dari konferensi itu, dia mengucap syukur kepada Tuhan kerana melindungi nyawanya. Dalam suasana sunyi bilik tidurnya, Tuhan menyatakan kepada Chua bahawa Dia telah mempersiapkannya untuk penculikan itu. Chua bertanya, "Bagaimanakah saya dipersiapkan? Saya merasa begitu takut dan trauma walaupun sesudah insiden itu." Tuhan mengingatkannya mengenai beberapa kalinya di mana Dia telah mempersiapkan Chua untuk pengalaman getir yang bakal berlaku itu.

Damien Chua dan isterinya Lai Mei Ying

Enam bulan sebelum itu, Lai, isteri Chua, telah mendapat penglihatan-penglihatan mengenai suaminya dalam kemalangan kereta, dan disorong dengan kerusi roda ke hospital. Lai rasa tergerak untuk berdoa untuk tangan perlindungan Tuhan bagi suaminya. Kedua-dua penglihatan itu menjadi kenyataan pada hari penculikan itu.

Kali kedua terjadi ialah ketika dua bulan sebelum penculikan itu apabila Tuhan menggerakkan seorang pastor untuk meminta Chua berdoa Mazmur 91 ke atas hidupnya. "Walaupun saya tidak tahu kenapa dia meminta saya melakukannya, saya berdoa Mazmur 91 akan terjadi dalam hidup saya dan orang-orang kesayangan saya," kata Chua.

Tuhan memberitahu Chua, "Lihat, anak-Ku, pertamanya, Aku telah menggerakkan orang-orang tersayangmu untuk berdoa untukmu, dan kemudian Aku telah mengajar engkau berdoa menggunakan Firman," Mengimbas kembali, Chua dapat melihat bahawa Tuhan sedang menunjukkan kepadanya bahawa sesungguhnya, Dia melihat segala-galanya, termasuk juga masa depan.

"Dia tahu bila Iblis akan menyerang kita dan telah menyediakan bagi kita bekalan perlindungan dan persiapan untuk apa pun yang kita hadapi di masa hadapan. Setiap pencubaan, kesusahan dan godaan yang kita hadapi adalah tapak ujian bagi hidup kita supaya Dia boleh menguatkan iman kita dan mematangkan kita supaya dapat menjadi lebih seperti Kristus," kata Chua.

Melalui penculikan itu, Tuhan menyatakan kepada Chua bahawa Dia akan menggenapi panggilannya untuk pelayanan perkhabaran Injil. Pada waktu itu, Chua tidak merasa yakin untuk menyahut panggilan Tuhan sebab dia pemalu dan sering rasa gentar untuk naik ke pentas. Tetapi apabila Tuhan memanggil, seperti yang Chua pelajari, Dia akan mempersiapkan, dan tidak lama selepas itu, pintu-pintu mula terbuka untuk Chua menyampaikan kesaksiannya. Sampai hari ini, Chua telah berucap di luar negara, di beratus tempat, berkongsi kesaksiannya di mana pun Tuhan membawanya.

(Dipetik dan diterjemah oleh SDP daripada artikel Asian Beacon bertajuk, "Rescued By An Angel" penulisan Tho Wern Ming bertarikh 28 Januari 2015)