Selasa, 31 Mei 2016

Kesaksian Malachi Kirby - Pelakon Utama "Roots"


Walaupun dia pernah berlakon dalam Eastenders dan Doctor Who, untuk mendapat peranan sebagai Kunta Kinte dalam penerbitan baru Roots oleh History Channel adalah perkara terakhir disangka oleh Malachi Kirby. Pelakon Inggeris berusia 26 tahun itu dilaporkan dipilih oleh penerbit eksekutif, LeVar Burton - yang telah berlakon sebagai Kunta Kinte dalam penerbitan 1970an, yang menjadi filem hit di Amerika Syarikat - untuk peranan itu.

Tetapi seperti yang diceritakan Kirby, peranannya dalam siri itu adalah kesemuanya diatur oleh Tuhan. Dan dalam mengambil peranan yang mencabar secara fizikal dan emosi sebagai seorang pemuda yang ditangkap di Gambia dan dibawa sambil dirantai ke sebuah kebun di Virginia seratus tahun sebelum Proklamasi Pembebasan. Kirby telah mempelajari lebih daripada yang dijangkanya. Siri baru yang diceritakan semula mengupas kisah sama yang telah ditunjukkan dalam siri 1977, tetapi juga memasukkan maklumat dari kajian beberapa dekad sejak siri terdahulu ditayangkan. Bersama dengan Kirby, siri baru ini juga dibintangi oleh Forest Whitaker, Laurence Fishburne, Jonathan Rhys Meyers, Anna Paquin dan lain-lain. 

Kirk berbicara dengan Christianity Today menerusi telefon dari London mengenai uji bakat pertamanya yang teruk dan apa yang berlaku selepas itu, dan apakah yang dia pelajari daripada memerankan watak itu. 

Transkrip yang berikut adalah kata-kata Kirby, diedit sedikit untuk kejelasan dan kepanjangan.

Uji Bakat Yang Paling Teruk - Dan Yang Terbaik

Di manakah saya bermula? Pada Januari 2015, saya mengikuti uji bakat pertama saya - Januari atau Februari. Saya ingat mendengar mengenai uji bakat itu dan berfikir, mengapakah mereka lakukan ini lagi? Mengapakah mereka nak buat projek ini lagi? Secara jujur, saya agak ketakutan mengenainya. Kemudian saya diberi kesempatan diuji bakat, dan saya menghabiskan keseluruhan waktu khuatir apa yang akan berlaku jika saya mendapat peranan itu, daripada bersiap untuk uji bakat itu. 

Saya pergi untuk uji bakat pertama, dan ianya adalah salah satu uji bakat yang paling teruk dalam hidup saya. Semuanya tak menjadi. Saya sampai ke situ terlewat setengah jam, sambil berkeringat, dan saya biasanya tidak lewat untuk apa-apa acara. Saya mempelajari skrip saya, tetapi apabila saya memasuki ruangan itu, saya apa pun tidak tahu. Saya cuba membaca dari skrip, tetapi seperti orang yang tidak tahu membaca - saya tidak dapat menyebut dengan betul, semuanya bercelaru. Saya sepatutnya menyebutnya dengan loghat Afrika Barat, tetapi saya langsung tidak berjaya. Pada satu ketika bunyinya seperti loghat Australia, dan saya tidak tahu loghat Australia. Semuanya teruk, dan saya terus-menerus meminta maaf kepada pengarah uji bakat itu. 

Dan kemudian saya pun pergi. 

Malachi Kirby memainkan peranan sebagai Kunta Kinte, watak utama "Roots"

Lima bulan kemudian, mereka menghubungi saya lagi. Ejen saya menelefon saya, dan berkata, "Oh, pasti kamu lakukan sesuatu dengan bagus di situ, sebab mereka mahu jumpa kamu lagi." Saya berkata, "Kawan, kamu tak tahu apa-apa!" Saya berfikir, oh, mereka mesti sangat terdesak.

Jadi saya pergi lagi...Dan itu adalah uji bakat paling menakjubkan yang saya pernah alami. Ianya rasanya seperti pengalaman terangkat dari tubuh. Saya sangat jelas merasakan ada sesuatu yang sedang terjadi di ruangan itu yang di luar kawalan saya. Saya merasakan bahawa semua orang di situ juga merasakan hal yang sama. Saya merasa diri saya seperti bejana. 

Kemudian sesuatu yang betul-betul ganjil terjadi. Saya di bilik saya, beberapa hari selepas uji bakat, dan saya sedang berdoa. Sementara saya sedang berdoa - saya sedang melakukan doa pertaubatan ketika itu - Tuhan berbicara dengan saya, dengan cara yang tak pernah saya dengar suaranya. Dia memberitahu saya bahawa saya sudah mendapat peranan itu, dan Dia berkata bahawa saya harus mengisytiharkannya sebelumnya ianya terjadi, dan bahawa Dia akan diagungkan. 

Saya berdolak-dalik, memikirkan bahawa itu hanyalah imaginasi saya, saya tidak mahu jadi gila. Saya teruskan berdoa dan ianya menjadi jelas seperti siang hari. Dia memberitahu saya untuk memberitahu ejen saya. Ejen saya yang sepatutnya memberitahu saya bahawa saya mendapat peranan itu, tetapi Tuhan kata untuk memberitahunya pula. 

Ianya adalah perbualan yang paling pelik. Tetapi saya melakukannya. Saya memberitahunya. Dia bukan seorang Kristian, kami tak pernah ada perbualan yang seperti itu. Dan dia berkata, "Um. ok. Itu bagus." Dan saya lebih kurang berhenti di situ. 

Satu Ujian Iman

Malachi Kirby dan Emayatzy Corinealdi dalam filem bersiri "Roots"

Saya ada di gereja pada esok harinya. Dan terlintas pada saya lagi agar berkongsi mengenainya dengan gereja saya, sebelum hal itu terjadi, supaya Tuhan akan diagungkan, oleh itu saya berkongsi mengenainya. Mereka berdoa untuk saya... Saya tidak fikir bahawa saya perlu tunggu lama, Kini saya sudah beritahu semua orang. jadi saya sudah lakukan bahagian saya. 

Isnin berlalu, dan ianya belum berlaku. Ok, saya berpegang pada iman. Seminggu pun berlalu, dan seminggu lagi juga berlalu, dan tiga minggu pun berlalu, dan saya belum mendengar apa-apa berita. Saya hanya berpegang pada iman, kepada apa yang telah ditunjukkan kepada saya. Pada setiap hari-hari itu sesuatu akan datang untuk menguji iman saya. Saya masih berpegang kuat oleh kasih karunia Tuhan. 

Kemudian datanglah minggu yang keempat, dan ejen saya menelefon. Dia berkata, "Saya ada sedikit berita baik." Mereka nak bagi saya ujian skrin, seperti satu lagi uji bakat. Dia kata ianya mungkin samada di Afrika Selatan, di Amerika atau London. Mereka masih belum buat keputusan - itu pada hari Isnin. 

Pada hari Jumaat, ejen saya menelefon saya pada 2.30 petang, dan berkata, "Hai, kamu akan terbang ke Afrika Selatan. Kamu pergi malam ini. Siapkan beg kamu." Penerbangannya pada 7.30 malam. 

Ujian skrin itu menakjubkan. Saya fikir ianya uji bakat untuk lima belas minit, tetapi akhirnya kami menghabiskan sepanjang hari di situ...Saya perlu ingat apa yang Tuhan telah katakan pada saya, iaitu bahawa ianya sudah menjadi milik saya. Ianya bukan seperti saya sedang menuntutnya - ianya seperti Tuhan sedang memberikan saya sesuatu yang saya belum pun sedia menerima. 

Saya kembali ke England pada hari esoknya dan kemudian ejen saya menelefon... dan dia memberitahu saya - seperti tanpa rasa teruja, dia berkata, "Ianya sudah terjadi. Apa yang kamu katakan sudah terjadi." Kami menghabiskan dua jam seterusnya bercakap hanya mengenai Tuhan. 

"Mengapakah Saya Di Sini?"

Itulah permulaan perjalanan yang menakjubkan yang masih lagi berterusan. Tuhan telah menunjukkan kepada saya terlebih dahulu, saya percaya, supaya saya dapat isytiharkannya terlebih awal supaya Dia akan diagungkan. Itulah yang saya lakukan sejak itu: hanya mengagungkan-Nya. 

...Saya masih ingat latihan bacaan skrip yang pertama dan saya sedang berfikir, Semua pelakon-pelakon di sini mengkagumkan. Ianya bukan kerana nama mereka: ianya sebab mereka sesuai betul untuk peranan yang mereka mainkan. 

Saya masih ingat melihat di cermin dan berfikir. Mengapakah saya di sini? Saya pergi kepada Tuhan dan berdoa mengenai itu. Saya ditunjukkan bahawa ianya bukan mengenai saya, saya hanyalah bejana. Saya perlu menyediakan diri dan mengizinkan-Nya melakukan apa yang Dia perlu lakukan. Jadi itulah yang saya lakukan: setiap hari, saya berlutut sebelum setiap babak yang dilakonkan, dan meminta Tuhan memakai saya. Apa yang akhirnya terjadi adalah sesuatu yang di luar apa yang saya dapat lakukan sendiri. Sesuatu yang lain sedang berlaku...

(Filem baru bersiri "Roots" yang diterbitkan History Channel akan ditayangkan di Astro pada 10 malam selama empat malam berturut-turut, 31 Mei - 3 Jun 2016, iaitu lapan jam yang ditayangkan dalam masa empat hari). 

(Dipetik dan diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Christianity Today bertajuk, "Just A Vessel: Actor Malachi Kirby On 'Roots,' Kunta Kinte And God" penulisan Alissa Wilkinson bertarikh 24 Mei 2016)