Rabu, 8 Jun 2016

7 Ciri Penting Untuk Dicari Dalam Pasangan Hidup

Pastor Rick Warren dengan isterinya Kay
Oleh Rick Warren:

Jika anda menantikan isteri yang sempurna atau suami yang sempurna, ianya tidak akan terjadi begitu saja. Biarlah saya jelaskan kenapa: Kita semua kurang sempurna. Itu OK sebab Tuhan masih mengasihi anda. Tetapi anda perlu memahami bahawa siapapun yang anda kahwini adalah kurang sempurna.

Semua orang kurang sempurna, tetapi ada orang yang jauh kurang sempurna berbanding orang lain. Dan anda perlu mengelakkan mereka tidak kira berapa kacak, kaya, atau baiknya mereka. Anda perlu mengetahui kesihatan emosi bakal pasangan anda sebelum anda memulakan suatu hubungan jangka panjang. 

Mengapakah saya mengatakan ini? Kajian lepas kajian menunjukkan bahawa 80% daripada semua perpisahan dan penceraian terjadi kerana salah seorang daripada pasangan atau kedua-duanya adalah tidak sihat secara emosi. 

Saya akan memberi anda satu senarai semak untuk sebahagian faktor-faktor kesihatan emosi yang perlu diperhatikan. Ini bukan pendapat saya; ini adalah apa yang Tuhan katakan untuk dielakkan. 

Carilah seorang yang tidak dikuasai oleh kemarahan. Amsal 22:24 mengatakan, "Jangan bersahabat dengan pemarah, atau bergaul dengan orang yang panas baran" (AVB). Tahukah anda kenapa? Kerana kemarahan yang tidak terkawal menunjukkan rasa sangat tidak aman dan harga diri yang rendah.  

Carilah seorang yang tidak terikat oleh ketagihan. Alkitab mengatakan, "Jangan berada bersama-sama pemabuk, atau orang yang rakus makan daging" (Amsal 23:20, AVB). Hanya dua perkara disebut di sini, makanan dan alkohol, tetapi terdapat ribuan cara kita boleh jadi ketagih. 

Carilah seorang yang tidak menyimpan kepahitan. Kepahitan adalah umpama racun - ianya membinasakan kita. Anda akan menjadi apa yang anda benci. Untuk berhenti membenci, anda perlu melepaskannya. Alkitab mengatakan dalam Ibrani 12:15, "Awaslah, jangan sampai ada sesiapa pun yang tidak mendapat kasih kurnia Allah. Jangan biarkan akar kepahitan menimbulkan kekacauan, sehingga ramai yang tercemar" (AVB). 

Carilah seorang yang tidak sering mementingkan diri sendiri. Kenapa? Amsal 28:25 mengatakan, "Orang yang tamak membangkitkan kemarahan" (AVB). Bila difikirkan, punca konflik yang paling utama dalam perkahwinan ialah sifat mementingkan diri. 

Carilah seorang yang tidak tamak. Amsal 15:27 mengatakan, "Orang yang tamak akan laba haram menyusahkan rumah tangganya sendiri" (AVB). Jika anda mengahwini seorang yang tamak, anda akan berhutang seumur hidup.

Carilah seorang yang pemurah dan baik hati. Alkitab mengatakan, "Jiwa yang suka beramal jariah akan diberi kelimpahan, orang yang memberikan air kepada orang, dia sendiri akan diberi minum" (Amsal 11:25, AVB). Dan, "Orang yang baik hati menguntungkan dirinya sendiri, tetapi orang yang kejam memudaratkan diri sendiri" (Amsal 11:17, AVB).

Carilah seorang yang sentiasa mengatakan kebenaran. Amsal 20:7 mengatakan, "Orang benar yang hidup dalam keikhlasan, begitu berbahagia sekali keturunannya!" (AVB). Cinta itu berdasarkan kepercayaan, dan kepercayaan itu berdasarkan kebenaran. Jika anda tidak mengucapkan kebenaran, saya tidak dapat percaya kepada anda. Dan jika saya tidak dapat percaya kepada anda, bagaimanakah saya dapat mencintai anda?

Anda mungkin berfikir, "Ini senarai yang cukup panjang, Rick. Saya tidak pasti samada saya dapat mencari orang yang seperti dalam senarai ini." Kebenarannya ialah anda dapat kerana Tuhan mengasihi anda, dan mengambil berat siapakah yang anda kahwin. Apa yang anda dapat lakukan sementara anda menantikan Tuhan menunjukkan anda siapakah yang anda harus kahwin, adalah untuk melakukan apa yang Tuhan suruh anda lakukan dalam hidup anda sendiri. Dengan kata lain, taati Tuhan dalam hal yang anda sudah tahu dan mula menyediakan diri anda menjadi orang yang akan dicari oleh bakal pasangan anda.

Dan tidak kira apa pun keadaan anda, Tuhan ialah Tuhan yang memberi kita pengharapan. Lakukan apa yang anda tahu Dia ingin anda lakukan, dan lihatlah bagaimana Dia bekerja dalam hidup anda.

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Christianity bertajuk, "Emotional Health Creates Relational Wealth" penulisan Rick Warren bertarikh 20 Mei 2016)