Rabu, 8 Jun 2016

Lagu dan Kisah: Gunung Kinabalu dan Ranau


KUALA LUMPUR: Setahun selepas gempa bumi di Sabah yang telah membunuh 18 orang di Gunung Kinabalu, sebuah syarikat penerbitan muzik tempatan telah menerbitkan sebuah video yang menceritakan mengenai masyarakat Ranau dan hubungan mereka dengan gunung itu.

Video itu yang bertajuk, "Songs and Stories: The Kinabalu Call", adalah usahasama penyanyi dan penulis lagu, Juwita Suwito dan penulis, Gina Yap Lai Yong, dan telah diterbitkan oleh Four Forty Records. 

Bercakap dengan FMT di pelancarannya, Juwita menerangkan bahawa idea untuk Songs & Stories telah timbul selepas dia dan Gina membuat keputusan untuk membawa "komuniti-komuniti bersama dan menunjukkan perbezaan dan persamaan kita" selepas menyedari bahawa rakyat Malaysia tidak banyak mengenali satu sama lain.

Mereka pertamanya mendaki Gunung Kinabalu untuk mengumpulkan kisah daripada komuniti tempatan selepas bencana gempa bumi itu dan kemudian mengatur satu pasukan, termasuk penyanyi dan penulis lagu Tony Leo, untuk mencatitkan kisah-kisah usaha membaik pulih selepas gempa bumi. 

Ketika ditanya mengenai pengalaman mereka semasa mendaki gunung, Juwita berkata dia rasa terharu untuk mempelajari betapa rapatnya kaitan masyarakat Ranau dengan gunung itu.

"Selepas gempa bumi terjadi, merekalah yang pertama ke situ. Saya tinggal di KL tetapi jika sesuatu terjadi pada Menara Berkembar Petronas, saya fikir saya tidak akan jadi orang pertama ke sana."

Gina juga mengulangi sentimen yang sama dengan mengatakan bahawa kecintaan untuk gunung itu telah tersemadi dalam hati penduduk-penduduk di situ. "Apabila saya melihat itu dalam mereka, ianya sangat menyentuh hati dan mengkagumkan," katanya. 

Untuk Songs & Stories, mereka juga menghasilkan sebuah album muzik dan sebuah buku kecil yang mengandungi lagu-lagu dan kisah-kisah pendik dari episod itu dan menyampaikan satu persembahan kepada komuniti itu selepas menuruni gunung itu.




(Diterjemahkan daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Songs And Stories Of Kinabalu And Ranau" penulisan Sheith Khidhir Bin Abu Bakar bertarikh 5 Jun 2016)