Rabu, 15 Jun 2016

Mel Gibson Sedang Merencana Susulan "Passion of The Christ"

Mel Gibson sedang bercakap dengan Jim Caviezel, pelakon utama "The Passion of The Christ"

Pelakon dan pengarah filem pemenang anugerah Oscar, Mel Gibson sedang merencanakan susulan kepada "The Passion of The Christ" yang akan mengisahkan mengenai kebangkitan Kristus, penulis skrip Randall Wallace memberitahu The Hollywood Reporter

Wallace memberitahu penerbitan perfileman itu bahawa adalah terlalu sukar untuk merahsiakan projek seperti itu. 

"Masyarakat Evangelikal (Injili) menganggap "The Passion" sebagai filem terbesar dari Hollywood, dan mereka tak henti-henti memberitahu kami bahawa filem susulannya akan menjadi lebih besar lagi," Wallace menyatakan. 

Penulis itu mengatakan dia memang ingin menyampaikan kisah ini. "'The Passion'" adalah permulaannya dan ada banyak lagi untuk diceritakan."

Skrip yang kedua itu dilaporkan belum lagi mendapat pembiayaan dan sokongan studio, tetapi filem 2004 yang asal itu telah mendapat keuntungan besar. Filem itu yang diarahkan oleh Mel Gibson, dan membintangi Jim Caviezel sebagai Kristus, telah menjana lebih daripada $370 juta di pawagam domestik dengan bajet hanya $30 juta, menurut Box Office Mojo. Ianya mendapat sambutan hebat dengan serta-merta, dengan mendapat $83.8 juta semasa pelancaran hujung minggu pertama. "The Passion of The Christ" mendapat $612 juta di sekeliling dunia, mencatit rekod sebagai filem bertaraf 'R' yang tertinggi pendapatannya, sehinggalah diatasi oleh "Deadpool" baru-baru ini.

Drama itu, yang menggambarkan beberapa jam terakhir kehidupan Kristus, dikenali dengan penggambarannya yang mempunyai unsur-unsur keganasan dan dikritik oleh beberapa kumpulan atas pengisahannya mengenai orang-orang Yahudi.

Mengenai filem susulan yang sedang direncana itu, seorang wakil untuk Gibson memberitahu Huffington Post pada hari Jumaat, "Kita tidak akan mengulas mengenai ini pada masa ini." Walaupun begitu Gibson telah dilaporkan menyatakan minat terhadap cadangan susulan "Passion" pada awal tahun ini.

Gibson baru-baru ini telah mendapat penghormatan di Pesta Perfileman Cannes untuk filem terbarunya, "Blood Father," dan dia sedang menyiapkan arahannya yang baru, drama Perang Dunia II, "Hacksaw Ridge," yang membintangi Andrew Garfield.

Wallace, seorang pembikin filem bertemakan iman, telah menulis dan mengarahkan filem 2014, "Heaven Is For Real." Dia berkata peminat-peminat Kristian telah berkali-kali meminta filem susulan untuk lebih daripada sedekad.

Wallace juga telah menulis filem Gibson, "Braveheart" yang memenangi Oscar.

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel The Gospel Herald bertajuk, "Mel Gibson Working On 'Passion of The Christ' Sequel" penulisan Julie Brown Patton bertajukrikh 10 Jun 2016)