Ahad, 12 Jun 2016

Pelancaran Alkitab Versi Borneo (AVB) Di Semenanjung Malaysia

Acara penyampaian AVB dari pemimpin-pemimpin gereja Malaysia kepada generasi muda

Pelancaran Alkitab Versi Borneo (AVB) Di Semenanjung Malaysia

Alkitab Bahasa Malaysia yang baru, yang dikenali sebagai Alkitab Versi Borneo (AVB) adalah terjemahan formal yang telah mengambil masa lebih 15 tahun untuk disiapkan. Sejak permulaannya pada 1998, pasukan utama penterjemahnya telah mempunyai satu fokus yang jelas - untuk menghasilkan terjemahan Bahasa Malaysia yang berkualiti tinggi bagi pembaca-pembaca modern.

Sejak pengedaran naskah cetaknya bermula pada Februari 2016, AVB telah mendapat sambutan yang hangat. Di Semenanjung Malaysia, ramai pembaca yang mencintai bahasa itu telah membacanya dengan linangan air mata kegembiraan. Dan amat bertepatan sekali di Malaysia Timur, para pembacanya mempunyai rasa pemilikan yang penuh bersemangat sebuah Alkitab Borneo dalam Bahasa Malaysia yang lancar dan mudah dibaca. 

Pakar-Pakar Yang Berkelayakan

Kepentingan AVB juga dirasakan dalam pelbagai cara yang lain. Orang awam merasa berbangga bahawa jurubahasa-jurubahasa yang sangat berkelayakan dan fasih dalam Bahasa Malaysia klasik dan modern telah membantu menentukan dan memartabatkan terjemahan ini, manakala sebilangan penterjemah Alkitab tempatan yang terbaik telah mencurahkan fokus, masa dan usaha mereka. Sarjana-sarjana Yunani/Ibrani yang memahami Bahasa Malaysia telah berkhidmat sebagai pakar perunding. Para pengulas dan penyemak bahasa juga telah memberi komitmen mereka yang bersungguh-sungguh.  

Sokongan Yang Sangat Kuat

Ramai pemimpin nasional telah tampil ke hadapan semasa pelancaran ini untuk memberi sokongan secara terbuka, dan ramai pemimpin rohani telah menyatakan bahawa AVB adalah penting dan bersejarah. 

Alkitab Versi Borneo memiliki ciri-ciri sebuah terjemahan yang baik - ketepatan, kejelasan, kelancaran dan penerimaan yang baik. Satu generasi yang baru akan menikmati Firman Tuhan dalam Bahasa Malaysia. 

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Stephen Ng (seorang penulis dan perunding media) telah hadir untuk membuat liputan sempena pelancaran pada 25 Mei:

Oleh Stephen Ng:

Saya menganggapnya sebagai satu penghormatan besar untuk diundang ke majlis pelancaran Alkitab Versi Borneo (AVB) pada 25 Mei 2016.

Walau pun saya pernah mendengar mengenai kerja-kerja penterjemahan yang telah dimulakan lebih dari 10 tahun yang lalu daripada salah seorang penterjemah utama, ianya seperti sesuatu yang tidak mendapat perhatian selama bertahun-tahun, oleh kerana saya tidak mendengar berita mengenainya lagi, sehinggalah Datuk Kenny Ng menyebut mengenainya baru-baru ini. Dan akhirnya undangan itu telah sampai ke tangan!

Sebaik saja majlis itu dimulakan, saya dapat merasa suatu rasa kekaguman memuncak dalam diri saya. Sambil acara itu berjalan, ianya seolah-olah saya sedang duduk bersama umat Israel, sewaktu Ezra membuka lembaran Taurat untuk dibacakan buat kali pertama sejak mereka dibuang negeri. Pelancaran AVB di kalangan ketua-ketua gereja, pastor-pastor dan pemimpin-pemimpin gereja sebagai hadirinnya, memberi saya satu perasaan yang menakjubkan seperti Firman Tuhan akan diberikan buat pertama kalinya kepada rakyat Malaysia. Timur dan Barat, kita adalah satu negara, dan Bahasa Malaysia adalah bahasa penghantar (lingua franca) kepada lebih 27 juta orang. 

Rev Datuk Jerry Dusing
Ianya bukanlah kerana rakyat Malaysia belum lagi memiliki Alkitab yang sepenuhnya dalam bahasa tempatan yang boleh dianggap modern dan kukuh secara teologia, tetapi pelancaran AVB menandakan permulaan satu era yang baru. Sebagaimana dikatakan oleh Rev Datuk Jerry Dusing dalam ucaptamanya, bahawa dia telah merasakan keperluan yang mendesak untuk memiliki satu versi Alkitab dalam bahasa tempatan yang mudah didampingi oleh umat Tuhan yang fasih dalam bahasa kebangsaan, dan pada waktu yang sama kukuh secara teologia. Selepas penerbitan AVB, beliau juga berharap dapat melihat penghasilan sebuah kamus kata-kata teologia dalam Bahasa Malaysia, dan juga sebuah Alkitab sejajar Bahasa Malaysia/Ibrani/Yunani, supaya pendidikan teologia dalam bahasa yang digunakan umat akan berkembang. 

Kelihatannya seperti Tuhan sedang mengarahkan seluruh prosesnya, bebanan Dusing telah membawanya kepada sebuah pasukan kecil Kristian dari Semenanjung yang telah pun memulakan usaha penterjemahan. Pada waktu itu, pasukan itu telah pun menyiapkan terjemahan seluruh Perjanjian Baru, dan sebilangan besar buku-buku Perjanjian Lama. Penterjemahan ini telah melalui banyak kali semakan bersama pakar-pakar Pejanjian Lama dan Baru, dan telah menyediakan satu rangka kerja yang bagus yang kita harapkan untuk masa depan: pendidikan teologia yang kukuh berdasarkan Bahasa Malaysia.  

Pada satu pihak lain, ianya juga telah memenuhi salah satu matlamat yang telah ditetapkan oleh Bible Society of Malaysia (Persatuan Alkitab Malaysia), dan Biskop Ng Moon Hing lantas mengatakan, "Menterjemahkan Alkitab dalam sebanyak bahasa dan suku bahasa tempatan sepatutnya adalah tugas kami, tetapi ini telah disiapkan oleh sekumpulan sukarelawan tanpa kos kepada Bible Society!" 

Untuk sebab itu, suatu acara simbolik menyampaikan AVB kepada generasi muda oleh pemimpin-pemimpin yang lebih tua mewakili Gereja Malaysia melambangkan Raja Daud menyampaikan baton kepada anaknya Salomo untuk membina bait Allah. Kita mengharapkan generasi muda akan dapat membina di atas dasar yang telah diletakkan, dan menyebarkan Firman Tuhan secara meluas ke seluruh negara. 

Segala kemuliaan kepada Allah di syurga, yang dari-Nya berkat mengalir. Tentunya dengan pembacaan yang bersungguh-sungguh AVB, gereja Yesus Kristus akan melihat gelombang baru yang mengujakan pada tahun-tahun mendatang. 

Nota: App Android AVB boleh didapati melalui Google Play Store. Boleh dicari dengan kata-kata "BM Bible". "AVB" atau "Borneo Bible".

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel Dear Goldie bertajuk, "Alkitab Versi Borneo" bertarikh 9 Jun 2016)