Khamis, 23 Jun 2016

Sidang Injil Borneo Mengiktiraf Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sidang Injil Borneo (SIB) menandatangan dokumen mengiktiraf Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dari kiri: Presiden SIB Sabah, Rev Datuk Jerry Dusing; Presiden BEM/SIB Sarawak,
Rev Dr Justin Wan; Presiden SIB Semenanjung, Rev Danil Raut.
(Foto: dari Facebook Rev Danil Raut)

Sidang Injil Borneo (SIB) telah secara rasmi mengiktiraf Alkitab Versi Borneo (AVB). 

Ketiga-tiga Presiden SIB/BEM (Sabah/Sarawak/Semenanjung) baru-baru ini telah menandatangan secara rasmi suatu dokumen menandakan penerimaan dan penggunaan Alkitab Versi Borneo (AVB) di dalam SIB/BEM. 


Dalam surat rasmi yang akan diedarkan kepada para pastor/penatua gereja-gereja SIB/BEM, ketiga-tiga presiden itu menyatakan bahawa, "Mesyuarat Majlis Gabungan (MMG) SIB Sabah, BEM/SIB Sarawak dan SIB Semenanjung pada 26-27 Februari 2016 telah sebulat suara bersetuju untuk mengiktiraf AVB sebagai salah satu terjemahan Alkitab Bahasa Melayu untuk dirujuk dan digunapakai oleh penganut-penganut Kristian di Malaysia."

Surat itu menyatakan bahawa Alkitab Versi Borneo itu telah diusahakan selama lebih dari 15 tahun dan kini telah mulai dijual di Scripture Union (SU), Wisma Merdeka, Jalan Tun Razak, Kota Kinabalu, Sabah. 


Surat itu juga memberi penerangan mengenai Alkitab Versi Borneo itu:

"Terjemahan AVB merupakan penterjemahan baru, dibuat berasaskan teks Ibrani dan Yunani oleh satu pasukan pakar tempatan serta dibantu oleh pakar dari luar Negara. Terjemahan AVB tinggi mutunya, yang akan menyumbang ke arah memperkasakan Jemaah Kristian berbahasa Malaysia Negara ini. Ketelitian terjemahan AVB dan kesetiaan kepada pemikiran penulis-penulis kitab-kitab asas, sesuai digunakan untuk pengkajian, pendidikan, khutbah, pembacaan awam dan liturgy Kristian."