Sabtu, 17 September 2016

Malaysia Menang 3 Emas, 1 Gangsa Di Paralimpik Rio 2016

Syabas! Pemenang-pemenang emas bagi Malaysia di Sukan Paralimpik Rio 2016
(Dari kiri: Mohd Ridzuan Mohd Puzi, Abdul Latif Romly, Muhd Ziyad Zolkefli)

KUALA LUMPUR: Pencapaian 3 pingat emas dan 1 gangsa adalah yang terbaik buat skuad olahraga sepanjang Malaysia menyertai temasya Sukan Paralimpik, kata ketua jurulatih negara, R Jaganathan.

“Ini pencapaian terbaik dalam temasya Sukan Paralimpik. Selain memenangi 3 pingat emas dan 1 gangsa, atlet juga berjaya mencipta 2 rekod dunia, 1 rekod Paralimpik dan 2 rekod Para Asia,” katanya kepada Bernama melalui aplikasi WhatsApp, semalam.

Menurut beliau, kejayaan itu adalah hasil kerja keras dan pengorbanan semua atlet.

“Kejayaan ini juga disebabkan doa seluruh rakyat Malaysia yang mahu melihat kejayaan atlet kita di sini (Rio de Janeiro). Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia. Saya juga berharap sokongan akan terus diberikan kepada kami selepas ini,” katanya.

Mohd Ridzuan Mohd Puzi memenangi emas pertama Malaysia mealui 100m (T36) lelaki

Pada edisi ke-15 temasya Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil, Jaganathan berkata, sejumlah 9 atlet olahraga melayakkan diri secara merit.

Misi mencari pingat emas pertama terkabul pada 10 September lalu melalui Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy).

Mohamad Ridzuan mencatat masa 12.07s, sekali gus memadam rekod Sukan Paralimpik 12.25s milik Roman Pavlyk dari Ukraine yang dilakukan di Beijing pada 2008.

Mohd Ridzuan Mohd Puzi dan Muhd Ziyad Zolkefli
dengan pingat emas kemenangan mereka
Sejam selepas kemenangan Mohamad Ridzuan, langkah cemerlang atlet Malaysia diteruskan Muhammad Ziyad Zolkefli melalui acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran).

Lebih manis, pemenang pingat gangsa pada edisi ke-14 di London pada 2012 itu mencipta rekod baharu dunia dalam percubaan pertamanya dengan jarak lontaran 16.40m dan memperbaiki lontaran dengan jarak 16.84m pada cubaan ke-5.

Abdul Latif Romly menang
emas lompat jauh T20 lelaki
Kejayaan itu sekali gus memadam rekod dunia dan Sukan Paralimpik milik Todd Hodgetts dari Australia, iaitu 16.29m yang juga dilakukan di London.

Aksi atlet paralimpik Malaysia terus cemerlang, pada hari berikutnya (11 September) apabila Abdul Latif Romly meraih pingat emas ketiga negara melalui acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran).

Beliau memecahkan rekod dunia sebanyak 3 kali dalam lompatan ke-2, ke-3 dan ke-5 dengan jarak 7.47m, 7.54m dan 7.60m.

Kelmarin, Siti Noor Radiah Ismail menghadiahkan pingat gangsa menerusi acara lompat jauh wanita T20 (masalah pembelajaran) dengan rekod baharu Sukan Para Asia menerusi lompatan sejauh 5.20m.

Siti Noor Radiah Ismail memenangi gangsa acara lompat jauh T20 wanita

Seorang lagi atlet wanita, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin walaupun terlepas peluang meraih pingat gangsa dalam acara 400m T20 wanita (masalah pembelajaran), tetapi beliau berjaya mencipta rekod baharu Sukan Para Asia dengan catatan 58.55s.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "3 Emas, 1 Gangsa Pencapaian Terbaik Malaysia Di Sukan Paralimpik" bertarikh 17 September 2016)