Filem Ben-Hur yang akan mula ditayangkan di Malaysia pada 15 September 2016 |
CHICAGO - Ketika treler pertama Ben-Hur dikeluarkan pada awal tahun ini, kebimbangan saya adalah serupa dengan penonton-penonton dan pengkritik-pengkritik filem yang lain. Ianya kelihatan menitikberatkan adegan aksi, dan kurang penekanan pada penceritaan, dan bukan satu filem yang bagus.
Tetapi setelah menonton filem ini baru-baru ini, saya mempunyai berita baik untuk peminat-peminat kisah klasik ini. Kebimbangan awal saya salah.
Ya, versi Ben-Hur 2016 (PG13) memang banyak adegan aksi, tetapi ianya juga mempunyai skrip filem yang sangat menarik - dengan banyak pelajaran hebat, terus dari Alkitab, untuk setiap kita. Dan ianya juga filem yang sangat, sangat bagus.
Filem klasik Ben-Hur 1959 |
Jika anda tidak biasa dengan kisahnya, berikut adalah ringkasan yang cepat (menggunakan skrip 2016) ...
Ben-Hur berlatar belakangkan zaman Kristus dan menumpukan kepada dua adik-beradik: Judah Ben-Hur (Jack Huston), seorang putera Yahudi, dan adik angkatnya, Messala (Toby Kebbell), yang berbangsa Rom. Mereka menyembah Tuhan yang berbeza dan berasal dari budaya yang berbeza, dan pada suatu hari Messala mengambil keputusan untuk berdikari dan menyertai tentera Rom, yang sedang berusaha menghentikan suatu pemberontakan Yahudi.
Hubungan mereka yang rapat dahulu kini menjadi rumit dan rapuh, dan ianya mencapai simpang penentuan selepas seseorang cuba membunuh Pontius Pilatus semasa beliau sedang menunggang kuda melalui kota, Pegawai-pegawai Rom mempercayai bahawa penembaknya adalah Judah. Messala - kini seorang pegawai tentera Rom - menjatuhkan hukuman ke atas abangnya, menghantarnya bekerja di kapal hamba abdi Rom, di mana dia akan menghadapi kematian yang perlahan dan hampir pasti.
Judah, bagaimanapun dapat bertahan, dan selepas kapal itu karam, melepaskan diri ke pantai dan berikrar untuk membalas dendam ke atas adiknya. Dia bertemu dengan seorang syeikh, Ilderim (Morgan Freeman), yang menggesa Judah untuk menyertai perlumbaan kereta berkuda yang termashyur itu - yang sama bahayanya dengan sebuah kapal hamba abdi - dan mengalahkan Messala di situ. Judah menerima cabaran syeikth itu, dan menyediakan diri untuk babak yang boleh dikatakan paling menarik dalam filem itu.
Di latar belakang seluruh kisah ini tentu saja ialah Kristus. Versi Ben-Hur 2016 ini memaparkan Yesus beberapa kali, termasuk di atas kayu salib pada penghujung filem itu. Ianya menghasilkan perbezaan jelas yang dramatik dan kuat: Juruselamat dunia mengajar mengenai pengampunan dan kasih, dan watak utama filem - Judah yang penuh kebencian - berusaha bersungguh-sungguh membalas dendam. Perbezaan itu menjadi lebih jelas lagi apabila Judah, selepas perhambaannya, bertemu Ester, wanita yang dicintainya. Ester kini sudah menjadi Kristian.
"Iman telah mengembalikan kau kepadaku," Ester memberitahunya.
Judah (Huston) dan Ester (Nazanin Boniadi) dalam filem "Ben-Hur" |
"Biarkanlah Messala," Ester merayu kepadanya. "Kita telah diberi peluang kedua."
Kemudiannya, apabila Ester memberitahunya bahawa ada "jalan yang lebih baik," Judah menjawab, "Tidak ada jalan lain."
Pada akhirnya, Judah memang mengalahkan Messala dalam perlumbaan kereta berkuda - termasuk kelihatannya membunuhnya - tetapi ianya tidak membawa sukacita atau kepuasan kepadanya, sebaliknya rasa kekosongan dan kesedihan. Dan ianya hanya setelah Judah menerima mesej Kristus, barulah dia menemukan damai yang dicari-carinya.
Siapa yang tidak akan suka cerita seperti itu?
Begitupun, ianya bukan hanya memiliki cerita yang bagus, Ben-Hur cukup realistik dan dapat dipercayai, dan babak perlumbaan kereta berkuda - ketika saya menontonnya dengan cermin mata 3D - sangat memegunkan. Dari permulaan sehingga penghujungnya, filem ini sangat menyenangkan secara visual. Huston dan Kebbell juga menunjukkan lakonan yang bagus. Kisah ini agak perlahan sedikit sewaktu babak kapal hamba abdi, tetapi selepas itu rentak ceritanya lebih pantas. Dan kesudahan ceritanya mungkin akan mengejutkan anda.
Saya akan menantikan pakar-pakar Hollywood untuk membanding dan membezakan filem klasik 1959 dan versi 2016. (Kedua-dua filem itu adalah berdasarkan buku yang sama yang telah ditulis pada 1880).
Pada pandangan saya, kedua-dua filem adalah bagus. Dan kedua-duanya berbaloi untuk ditonton.
Treler Rasmi Filem "Ben Hur" (2016)
Treler Rasmi Filem "Ben Hur" (2016)
(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Christian Examiner bertajuk, "Review: 'Ben-Hur' A Delightful Remake of 1959 Classic" yang ditulis oleh Michael Foust bertajuk 17 Ogos 2016)