Sabtu, 18 Februari 2017

Misteri Makin Bertambah Penculikan Pastor


Selepas lima hari, keluarganya masih belum menerima panggilan daripada penculik-penculik.

PETALING JAYA: Misteri kehilangan Pastor Raymond Koh Keng Joo (foto) makin mendalam dengan setiap hari yang berlalu, tanpa panggilan daripada penculik-penculiknya.

Kaji selidik yang dijalankan oleh The Star di lokasi yang didakwa terjadi insiden menunjukkan bahawa kebanyakan penduduk di kawasan perumahan bersebelahan tidak menyedari bahawa penculikan telah berlaku pada hari Isnin.

Koh telah terlibat dalam banyak kerja kebajikan gereja dan kerja komuniti dengan sekumpulan yang dipanggil Komuniti Harapan, yang diasaskannya lebih daripada 10 tahun yang lalu.

Komuniti Harapan menjalankan kelas-kelas tusyen percuma untuk kanak-kanak dan pelajaran Bahasa Inggeris untuk orang-orang dewasa. 

Dia menghadapi kontroversi pada 2011 selepas NGOnya didakwa oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berusaha menukar agama orang-orang Islam selepas serbuan ke atas majlis makan malam kesyukuran dan mengumpul dana di Damansara Utama Methodist Church.

Penculikannya telah disahkan oleh Ketua CID Selangor SAC Fadzil Ahmat pada hari Selasa dan polis masih sedang menyiasat kehilangan Koh.

Keluarga Koh bimbang menanti berita keselamatannya. 

Saudara-mara mengatakan bahawa isterinya, Susanna Liew Sow Yoke, 61 tahun merasa tertekan kerana lima hari sudah berlalu tanpa makluman mengenai kedudukannya. 

Keluarga mereka telah mendapatkan bantuan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen untuk merayu untuk kepulangan Koh yang selamat.

"Kami telah menghantar surat kepada balai polis Kelana Jaya kerana kami telah menerima permintaan daripada keluarga itu.

"Oleh kerana penculikan telah berlaku di kawasan kami, kami telah menulis bagi pihak keluarga agar polis akan memberikan perhatian khas kepada kes ini dan memberi makluman yang berterusan kepada keluarga itu. Walaupun begitu, kami tidak ingin campur tangan dalam siasatan polis,"  kata Wong.

Koh, 62 tahun telah kali terakhir dilihat oleh keluarganya pada hari Isnin apabila dia pergi menghantar belacan kepada seorang kawan yang akan kembali ke Medan, Indonesia. 

Dia sedang memakai sehelai baju T berleher polo berwarna kuning air dan seluar panjang kelabu gelap pada waktu kehilangannya. 

Sejak itu keluarga itu telah mendengar daripada orang-orang yang telah menyaksikan penculikannya bahawa tiga atau empat kereta SUV telah menghadang kereta Honda Accord berwarna cerah itu.

Mereka diberitahu bahawa seorang daripada kumpulan lelaki itu dilihat sedang membuat rakaman video insiden itu sementara seorang lagi mengarahkan lalulintas kenderaan. 

Kesemua penculik-penculik itu dilaporkan memakai topeng ski mask berwarna hitam. 

Polis telah mengumpulkan rakaman CCTV dari kawasan-kawasan persekitaran, termasuk kawasan kediaman berdekatan. 

Salah satu daripada rakaman CCTV menunjukkan tiga kereta SUV berwarna hitam berhenti di tengah jalan pada waktu insiden itu. 

Penculikan Koh tidak dirakam oleh kamera tetapi pergerakan kaki dapat dilihat, dengan dua kereta SUV dilihat dipandu dari situ diikuti oleh sebuah kereta berwarna cerah yang dipercayai milik Koh. Sebuah lagi kereta SUV kelihatan mengikuti kereta-kereta itu.    

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel The Star bertajuk, "Mystery Deepens Over Pastor's Abduction" yang ditulis oleh Akil Yunus, Thean Lee Cheng dan Ashley Tang bertarikh 18 Februari 2017)