Rabu, 26 April 2017

Perumpamaan Pisau Cukur Yang Tajam


Saya biasanya menggunakan pisau cukur jenis pakai buang. Ianya boleh digunakan beberapa kali sebelum dibuang. Tetapi pada satu kali itu, saya malas untuk membeli pisau cukur yang baru. Lagi pun saya nak jimat, jadi saya pakai terus pisau cukur yang sama untuk beberapa minggu. 

Pada mulanya pisau cukur itu tajam dan mudah dipakai. Tetapi lama kelamaan, pisau cukur itu sukar dipakai, ianya menyakitkan dan tidak mencukur dengan bersih. Saya menggunakan lebih masa kerana perlu mencukur berulang-ulang untuk mendapatkan cukuran yang bersih.

Akhirnya, saya ke kedai runcit untuk membeli pisau cukur yang baru. Ketika saya menggunakan pisau cukur yang baru itu, saya dapat mencukur dengan mudah sekali. Tak ada lagi rasa sakit-sakit. Dan ianya mencukur bersih dengan sekali dua cukuran sahaja. Barulah saya tahu bezanya antara pisau cukur yang tajam dan yang tumpul.

Saya rasa seperti Tuhan mengingatkan saya mengenai kehidupan daripada pelajaran pisau cukur itu. Ketika hidup rohani saya dekat dengan Tuhan, saya akan menjadi "tajam" dalam hal-hal rohani. Saya dapat memberikan perkataan yang tepat kepada orang yang memerlukan nasihat atau jawapan kepada persoalan mereka.

Saya teringat ayat daripada Yesaya 50:4;

Tuhan ALLAH telah memberikan kepadaku lidah seorang murid, supaya dengan perkataan aku dapat memberi semangat baru kepada orang yang letih lesu. Setiap pagi Ia mempertajam pendengaranku untuk mendengar seperti seorang murid. Tuhan ALLAH telah membuka telingaku, dan aku tidak memberontak, tidak berpaling ke belakang.

Rupa-rupanya Yesaya mengatakan bahawa Tuhan mempertajamkan pendengarannya untuk mendengar seperti seorang murid pada setiap pagi. Itulah rahsianya dia dapat mengucapkan perkataan yang dapat menguatkan orang lain.

Umpama pisau cukur tajam yang mencukur dengan bersih, bukannya pisau cukur yang tumpul dan menyakitkan.