Jumaat, 13 Oktober 2017

Billy Graham Letak Ayat Alkitab Ini Dalam Huruf Saiz Besar Di Sekitar Rumahnya

Penginjil Billy Graham (Foto: BGEA)

Penginjil Franklin Graham telah mendedahkan bahawa ayahnya, penginjil terkenal asal North Carolina, Billy Graham, mempunyai satu ayat Alitab dipamerkan dengan huruf bersaiz besar di merata tempat di rumahnya, dan dia menggelarkannya "ayat pegangan hidupnya."

"Masih pada hari ini, ayah saya mempunyai satu ayat Alkitab dilekatkan di dinding bilik tidurnya dicetak dalam huruf bersaiz SANGAT besar. Sebenarnya, ianya juga ada di bilik makan, di bilik air, dan beberapa lagi tempat di sekitar rumah! Sebelum lagi harijadinya yang ke-95, dia sedang mempersiapkan sebuah khutbah berdasarkan ayat kunci ini. Ianya menjadi kerinduannya untuk menghafal ayat ini, untuk memenuhi hati dan fikirannya dengannya. Dia menjadikannya ayat pegangan hidupnya," Franklin berkata dalam satu catitan Facebook pada hari Selasa.

Dia mendedahkan bahawa ayat itu adalah Galatia 6:14, yang berbunyi, "Tetapi aku sekali-kali tidak mahu bermegah dengan apa pun kecuali salib Tuhan kita Yesus Kristus yang melalui-Nya dunia telah disalib kepadaku dan aku juga kepada dunia" (AVB).

Franklin menggelarkannya "satu ayat yang hebat untuk menjadi pegangan hidup".

Pada Julai yang lalu, presiden Billy Graham Evangelistic Association dan Samaritan's Purse itu telah berkongsi satu berita terbaru mengenai ayahnya yang berusia 98 tahun, dengan berkata, "Dia dalam keadaan sihat, namun begitu dia mengalami cabaran-cabaran fizikal yang datang dengan usianya."

"Dia menikmati kunjungan daripada ahli-ahli keluarganya, termasuk adik perempuannya yang adalah satu-satunya adik beradiknya yang masih ada. Cucu-cucu dan cicit-cicit juga lebih sering datang melawat pada bulan-bulan musim panas ini," tambahnya. 

Dia juga mencatat bahawa pastor kepada ayahnya, Don Wilton dari Spartanburg dari South Carolina, terus mengunjungi ayahnya setiap minggu, yang "sangat dihargainya."

Satu catitan pada Januari 2013 pada laman Billy Graham Library menyatakan bahawa penginjil itu telah mengenalpasti Yohanes 3:16 sebagai ayat kegemarannya dari 1995 lagi, yang berbunyi. "Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal" (AVB).

Billy Graham berkata pada waktu itu bahawa itulah ayat yang sering dikhutbahkannya semasa rapat-rapat penginjilannya. 

"Ianya hanya mempunyai 25 perkataan dalam terjemahan Bahasa Inggerisnya, tetapi ianya adalah Injil dalam bentuk diringkaskan. Ada orang yang memanggilnya Alkitab dalam saiz paling mini," katanya. 

Dia juga telah menyeru kepada orang-orang Kristian agar berusaha memahami Alkitab, yang dikatakannya adalah lebih penting daripada mana-mana buku.

Ketika menjelaskan bagaimanakah untuk mula mempelajari Alkitab, dia berkata pada 2016 bahawa pembaca-pembaca kali pertama boleh bermula dengan Injil Yohanes. 

"Saya mencadangkan anda bermula dengan titik tumpuan Alkitab, iaitu Yesus Kristus. Seluruh Perjanjian Lama menunjuk ke hadapan kepada-Nya, dan seluruh Perjanjian Baru memberitahu kita mengenai-Nya. Dia telah datang dari syurga untuk mengampuni kita dan menjadikan kita sebahagian daripada keluarganya untuk selamanya - dan dalam seluruh Alkitab kita menemukan kebenaran yang agung ini," Billy Graham menulis, sambil menambah rujukan kepada Yohanes 20:31, yang menyatakan Kitab Suci itu "telah ditulis bertujuan supaya kamu percaya bahawa Yesus ialah Kristus, Anak Allah, dan kerana kamu percaya kepada-Nya, kamu akan memperoleh hidup dalam nama-Nya" (AVB). 

Pada bulan September, telah diumumkan bahawa Will Graham akan memainkan peranan sebagai datuknya yang terkenal itu dalam filem seterusnya mengenai kisah hidup pelumba Olimpik dan bekas tahanan perang, Louie Zamperini, yang bertajuk "Unbroken: Path to Redemption."

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Christian Today bertajuk, "Billy Graham Has This Bible Verse Displayed In Large Letters All Through His House" yang ditulis oleh Stoyan Zaimov bertarikh 11 Oktober 2017)