Rabu, 11 Oktober 2017

Apa Terjadi Ketika Roh Kudus Memberitahu Lelaki Ini Untuk Mula Memandu Uber


Kenneth Drayton memandu untuk Uber di Bandaraya New York. Dia berkata walaupun dia telah selalu terlibat dalam pelayanan, dia tidak pernah berfikir mengenai pilihan kerjaya ini. 

"Anak lelaki sulung saya berkata, 'Ayah, kenapa ayah tidak mencuba Uber? Ianya satu sumber pendapatan yang cukup baik. Ianya memberikan jumlah kewangan yang cukup baik.' Kemudian saya menyelidikinya dan apa yang menjadi syarat di New York ialah anda perlukan lesen TLC, Taxi Limousine Commission, dan ianya proses yang agak mahal," Dayton memberitahu CBN News.

"Tetapi kemudian pada suatu hari saya sedang makan di sebuah restoran di Brooklyn lalu satu suara, suara dalaman yang berkata kepada saya, 'Pergi dapatkan lesen TLC itu,' dan ianya suara yang jelas, suara yang kuat dan saya memandang sekeliling untuk melihat samada orang lain di restoran itu juga telah mendengarnya, dan ianya bangkit dalam diri saya. Jadi saya kata, 'Ok, nyata padaku inilah suara Tuhan yang sedang berbicara kepadaku,' dengan itu saya taati," Drayton berkata. 

Selepas setahun memandu, dia sangat yakin bahawa itu adalah pimpinan ilahi. 

"Ramai orang yang keluar masuk kereta saya merasa tertekan, mengalami isu, mempunyai kekhuatiran, dan atas sebab tertentu saya melihat bahawa ramai daripada individu-individu ini Tuhan sedang hantarkan kepada saya," kata Drayton.

Dari masa seseorang penumpang duduk di kerusi belakang keretanya, sehingga waktu dia menurunkan mereka di destinasi, Drayton berkata bahawa Roh Kudus hadir dan memimpin perbualan. 

"Ianya suatu kesedaran, ianya suatu pendengaran dalam diri, ianya adalah hikmat terutamanya. Alkitab juga menyatakan dengan jelas, 'Dia yang memenangi jiwa-jiwa adalah bijak,'" kata Drayton.

Dia tidak mempunyai agenda lain selain daripada mentaati Tuhan. Kadangkala itu bererti bercakap dengan penumpang; pada waktu-waktu lain ianya hanya bererti berdiam diri. Walau apapun cara dia percaya bahawa pemenang jiwa-jiwa yang sejati sedang bekerja.  

"Tuhan mempunyai ramai orang bekerja di ladang-Nya. Ada yang mengairi, ada yang menabur benih dan bergantung dengan apa yang Tuhan lihat sebagai sesuai - Roh Kudus akan menentukan bagaimana benih itu akan bertumbuh," Drayton menjelaskan. 

Drayton tidak menjangka akan menjadi pemandu Uber untuk selamanya, tetapi buat waktu ini, dia tidak terpanggil untuk  sesuatu yang lain. 

"Saya tidak fikir bahawa Uberlah fokus utama. Saya fikir fokus utama adalah kehendak ilahi Tuhan," kata Drayton. 

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Charisma News bertajuk, "What Happened When The Holy Spirit Told This Man To Start Driving For Uber" yang ditulis oleh Caitlin Burke bertarikh 9 Oktober 2017)