Isnin, 9 Oktober 2017

Suhakam Siasat Kehilangan Pastor Koh dan Tiga Yang Lain, 15 Saksi Akan Beri Keterangan


SEKURANG-KURANGNYA 15 orang saksi disepina oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk memberikan keterangan dalam siasatan kehilangan Pastor Raymond Koh dan tiga lagi aktivis lain pada 19 Oktober depan.

Mereka adalah antara lebih 30 orang yang ditemubual Suhakam sejak suruhanjaya itu memulakan siasatan mereka pada Jun lalu bagi menilai sama ada pihak berkuasa mengambil tindakan sepatutnya dalam pencarian empat individu yang hilang itu.

Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph memberitahu The Malaysian Insight, antara yang ditemubual suruhanjaya adalah ahli keluarga individu hilang, polis dan pihak berkaitan.

“Senarai saksi sudah dimuktamadkan, ada sepina yang sudah dihantar dan selebihnya akan dilakukan minggu ini.

“Suhakam tidak berhak mendedahkan senarai saksi, ia hanya akan dilakukan apabila sesi pendengaran siasatan bermula,” kata Jerald.

Bagaimanapun, keluarga Koh memberitahu The Malaysian Insight yang mereka sudah meminta Suhakam untuk menyepina bekas Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar supaya memberikan keterangan pada sesi pendengaran awam itu.

“Kami mahu Khalid memberi keterangan kerana dia adalah orang utama yang bertanggungjawab sejak kehilangan Koh.

“Logik untuk dia (Khalid) dipanggil untuk menjelaskan kes itu,” kata jurucakap keluarga itu.

Jerald berkata sesiapa sahaja boleh dipanggil sekiranya perlu.

“Ahli panel akan memutuskan jika mereka perlu memanggil lebih ramai orang.

“Tiga pesuruhjaya sudah dikenal pasti untuk sesi pendengaran awam itu dan siapa mereka akan didedahkan apabila ia bermula,” katanya.

Suhakam menyepina saksi itu mengikut peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia 1999 (Akta 597) yang memberikan mereka kuasa untuk menyoal saksi dalam kes yang disyaki wujudnya pencabulan hak asasi manusia.

Suruhanjaya juga boleh mengambil tindakan ke atas sesiapa yang gagal hadir selepas disepina, di bawah Seksyen 174 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga sebulan dan denda tidak lebih daripada RM1,000 atau kedua-duanya.

Sesi pendengaran awam siasatan akan berlangsung pada 19, 20 dan 30 Oktober di ibu pejabat Suhakam, di Menara TH Perdana, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Jurucakap keluarga Koh juga mengatakan yang mereka berharap Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun akan memastikan pasukannya memberikan kerjasama penuh kepada siasatan Suhakam dan menyediakan penjelasan tentang kes itu.

“Kami tidak menghubungi Fuzi dan polis juga tidak memaklumkan perkembangan terbaru (kes) kepada kami.

“Dia beritahu media untuk beri dia masa (selepas dia dilantik), jadi kami akan tunggu dan lihat hasil siasatan Suhakam dahulu.”

Koh diculik di Petaling Jaya pada 13 Febuari oleh 15 orang lelaki memakai tiga buah SUV hitam. Penculikan yang berlaku pada siang hari itu dilaporkan dilakukan dengan tersusun dan terancang.

The Malaysian Insight melaporkan pada Ogos yang polis mengatakan Koh mungkin diculik oleh sindiket penyeludupan manusia yang mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah di selatan Thailand.

Siasatan awam itu juga akan menyiasat kehilangan Amir Che Mat yang hilang pada malam 24 November tahun lepas selepas dia memberitahu anak perempuan sulungnya yang dia akan keluar rumah, dan Joshua Hilmy, seorang pastor berketurunan Melayu serta isterinya, Ruth yang hilang pada 30 November tahun lepas. – 5 Oktober, 2017.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Suhakam Siasat Kehilangan Pastor Koh dan Tiga Yang Lain, 15 Saksi Akan Beri Keterangan" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 5 Oktober 2017)