Sabtu, 4 November 2017

Katedral St Mary Terima Kunjungan Kerabat Diraja England


KUALA LUMPUR: Selepas 19 tahun, Cathedral St Mary berdekatan Dataran Merdeka di Jalan Raja di sini Sabtu menerima kunjungan pasangan diraja British.

Putera Charles, Putera Wales dan isteri Camilla, Duchess of Cornwall melawat gereja Anglican ini sebagai sebahagian daripada lawatan sulung tujuh hari mereka ke Malaysia.

Kali terakhir gereja ini menerima kunjungan tetamu daripada keluarga diraja British ialah pada 1998 apabila Ratu Elizabeth II menghadirI upacara pembukaan rasmi Sukan Komanwel Ke-16 di Kuala Lumpur.

Baginda turut melawat gereja ini pada 1989 semasa Mesyuarat Ketua Negara Komanwel di Kuala Lumpur.

Putera Charles dan Camilla tiba pada pukul 10.10 pagi ketika hujan lebat dan disambut Archbishop Datuk Ng Moon Hing.

Putera Charles dan Camilla disambut oleh Archbishop
Ng Moon Hing di Gereja St. Mary

Pasangan diraja ini disertai menteri pengiring Datuk Seri S.K. Devamany yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pelawat diraja turut menyertai upacara gereja selama 40 minit dan kemudian bertemu anggota gereja dan beberapa staf Pesuruhjaya Tinggi British yang turut hadir.

Putera Charles dan Camilla turut menandatangani buku pelawat sebelum meninggalkan gereja.

Putera Charles dan Camilla bergaul dengan kanak-kanak semasa lawatan di St Mary

Archbishop Ng memberitahu Bernama anggota gereja merasa gembira dan teruja dengan kunjungan Putera Wales dan Duchess of Cornwall.

Beliau berkata beliau menunjukkan kepada Putera Charles plak memperingati kunjungan Ratu Elizabeth II pada 1989 dan baginda berkata baginda mengingati kunjungan itu.

Kunjungan Putera Charles dan Camilla ke Malaysia merupakan sebahagian daripada kunjungan 11 hari waris takhta diraja British ini ke Singapura, Malaysia dan India mulai 30 Oktober hingga 9 November ini. - BERNAMA

(Diambil daripada artikel mStar bertajuk, "Cathedral St Mary Terima Kunjungan Kerabat Diraja England" bertarikh 4 November 2017)