KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan seorang penjawat awam
kerana disyaki terlibat dalam kes khianat sebuah pusat ibadat di Jalan Hamzah,
di sini, Ahad lepas.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata,
lelaki berumur 34 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas pada
1.30 tengah hari semalam.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek melakukan perbuatan
tersebut kerana desakan suara halus atau halusinasi yang menyuruhnya
mengkhianati rumah ibadat bukan Islam.
“Suspek bertindak memandu kereta isterinya berseorangan pada
malam kejadian dari rumahnya di Pasir Mas sebelum melontarkan 2 unit penapis
air ke arah gereja tersebut,” katanya pada sidang akhbar berkaitan perkembangan
kes berkenaan, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, hari ini.
Hasanuddin berkata, perbuatan tersebut adalah kali ke-2
dilakukan suspek selepas kali pertama ke atas gereja itu pada 3 Januari lepas.
“Suspek dikatakan mula mengalami halusinasi sejak kematian
ibunya tahun lepas. Kes dianggap selesai dengan penahanan suspek.”
Katanya, suspek berjaya ditahan dalam tempoh singkat selepas
dia ditahan polis IPD Pasir Mas kerana disyaki terbabit dalam satu kejadian
langgar lari berdekatan gereja itu pada malam sama.
Suspek kini direman 4 hari bermula hari ini untuk siasatan
lanjut.
Dalam kejadian itu, suspek disyaki membaling 2 unit penapis
air dari laluan bertingkat Jalan Hamzah kira-kira 7m dari gereja berkenaan
menyebabkan cermin depan rumah ibadat itu pecah.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Penjawat Awam Ditahan Lontar Penapis Air Ke Gereja" bertarikh 9 Januari 2018)