Rabu, 21 Februari 2018

Billy Graham: Penginjil Terkemuka Amerika Syarikat Meninggal Dunia Pada Usia 99 Tahun


Penginjil Amerika Syarikat, Billy Graham - salah seorang pengkhabar Injil paling berpengaruh abad ke-20 - telah meninggal dunia pada usia 99 tahun. 

Dia telah meninggal dunia di rumahnya di Montreat, North Carolina, begitu dinyatakan seorang jurucakap Billy Graham Evangelistic Association.

Dalam karier selama 60 tahun, dia dianggarkan telah berkhutbah kepada ratusan juta orang.

Bekas presiden-presiden adalah di antara ramai yang memberi ucapan penghormatan. Presiden Trump telah menggelarnya "hebat" dan "seorang yang sungguh istimewa."

Setelah menjadi salah seorang penyebar Kristian paling terkenal di Amerika Syarikat, Graham memulakan misi globalnya dengan satu acara di London pada 1954.

Graham telah menjangkau berjuta-juta orang lagi melalui TV - orang pertama untuk menggunakan saluran itu menyampaikan mesej Kristian pada skala itu. 

Billy Graham berkhutbah di Los Angeles pada 1963

Dilahirkan pada 1918 dan dibesarkan di ladang tenusu keluarganya di Charlotte, North Carolina, Billy Graham telah menjadi seorang Kristian yang komited pada usia 16 tahun selepas mendengarkan seorang penginjil.

Dia telah ditahbiskan sebagai seorang pastor pada 1939, semasa berusia 21 tahun. 

Profail awamnya di Amerika Syarikat telah meningkat ketika dia mengadakan pelayanan dua bulan di dalam khemah besar di Los Angeles pada 1949. 

Misi globalnya yang telah membawanya ke setiap penjuru dunia termasuk Nigeria dan negara komunis Korea Utara.

Satu khutbah awalnya di luar Amerika Syarikat telah disampaikan kepada 12,000 orang pada 1954 di Arena Harringay, London.

Berkhutbah di Paris pada 1986 (Foto Reuters)

Walaupun pada mulanya pendiriannya tidak jelas mengenai pergerakan hak sivil di Amerika Syarikat, dia memberikan sokongannya pada 1950an dengan berkhutbah kepada hadirin berbilang bangsa yang tidak dipisahkan.

Graham telah menghindarkan dirinya daripada skandal-skandal - seks dan kewangan - yang telah dialami oleh sebilangan penginjil televisyen dalam pelayanannya yang berpuluh-puluh tahun. 

Seorang yang konservatif dalam isu sosial, dia telah menentang perkahwinan sama jantina dan pengguguran bayi. 

Graham telah berkhutbah di kebaktian kebangunan rohaninya yang terakhir di New York pada 2005 pada usia 86 tahun. 

Dengan penghujung hidupnya semakin dekat, dia telah berkata, "Saya tahu bahawa hidup saya akan berakhir tidak lama lagi. Saya bersyukur kepada Tuhan untuknya, dan untuk segala yang telah diberikan-Nya kepada saya dalam hidup ini. Saya menantikan Syurga."


(Dipetik dan diterjemah daripada artikel BBC bertajuk, "Billy Graham: Influential US Evangelist Dies At 99" bertarikh 21 Februari 2018)