Rabu, 21 Februari 2018

Ketika Eliab Melemparkan Tuduhan Terhadap Daud...

Gambar kiri: Eliab dan Daud,
Gambar Kanan: Daud dan Goliat

Semua orang Kristian tahu kisah bagaimana anak muda Daud mengalahkan Goliat. Kisah perlawanan yang hebat itu telah diceritakan berkali-kali di Sekolah Minggu dan juga dalam khutbah-khutbah Ibadah Ahad. 

Namun begitu ada satu lagi kisah di sebalik peristiwa itu yang jarang disebut. Yang saya maksudkan ialah pertengkaran yang hampir terjadi di antara Daud dengan abangnya Eliab sebelum pertempuran bersejarah Daud dengan Goliat. 

Kita memetik kisah itu daripada 1 Samuel 17...

Daud Dimarahi Eliab

Daud telah sampai di medan perang membawa makanan untuk abang-abangnya. Di situ dia melihat Goliat keluar dan mencabar askar-askar Israel dengan kata-kata cemuhan. Semua orang Israel lari ketakutan.

Daud pun bertanya kepada kalangan yang berdiri bersamanya, "Apakah yang akan dilakukan terhadap orang yang dapat membunuh orang Filistin ini dan yang dapat menghapus cela ini daripada Israel? Siapakah orang Filistin yang tidak bersunat itu sehingga dia mencemuh barisan perang daripada Allah yang hidup?"  (1 Sam 17:26, AVB)

Apabila Eliab mendengar pertanyaan Daud, dia menjadi marah.

Eliab, abangnya yang tertua, mendengar percakapannya dengan orang itu. Maka menyalalah amarah Eliab terhadap Daud, katanya, "Mengapakah engkau datang ke mari? Kepada siapa kauamanahkan kawanan domba yang sedikit itu di gurun? Aku mengenal keangkuhan dan kejahatan hatimu. Engkau datang hanya untuk menonton peperangan ini, bukan?" (1 Sam 17:28, AVB)

Eliab telah melemparkan beberapa tuduhan terhadap adiknya Daud. Adakah tuduhan-tuduhan itu munasabah?

5 Tuduhan Eliab Terhadap Daud

Dalam percakapan yang singkat itu, Eliab telah melemparkan 5 tuduhan terhadap Daud

1. Tuduhan bahawa Daud datang ke medan perang tanpa sebab yang wajar.

"Mengapakah engkau datang ke mari?

2. Tuduhan bahawa Daud adalah seorang yang tidak bertanggungjawab.

"Kepada siapa kauamanahkan kawanan domba yang sedikit itu di gurun?"

(Tambah lagi Eliab juga menghina Daud dengan mengatakan Daud hanyalah penjaga "kawanan domba yang sedikit itu.")

3. Tuduhan bahawa Daud angkuh hati

"Aku mengenal keangkuhan... hatimu"

4. Tuduhan bahawa Daud jahat hatinya

"Aku mengenal... kejahatan hatimu"

5. Tuduhan bahawa Daud datang dengan niat yang salah

"Engkau datang hanya untuk menonton peperangan ini, bukan?"

Apabila kita membaca tuduhan-tuduhan pedas yang dilemparkan oleh Eliab itu, kita pasti Daud akan berasa marah dan membalas tuduhan abangnya. Apakah yang dikatakan oleh Daud?

Jawapan Daud Kepada Eliab

Daud menjawab:

"Apa yang telah kuperbuat? Hanya bertanya saja!" (1 Sam 17:29, TB)

Daud menjawab Eliab tetapi dengan ringkas sahaja. Dia tidak ingin berkelahi dengan abangnya walaupun dia telah dihina dan dituduh bermacam-macam. Dia tidak menjawab tuduhan-tuduhan itu ataupun berusaha membela dirinya. Dia ada misi yang lebih besar daripada berkelahi dengan abangnya.

Tindakan Daud Seterusnya

Saya tertarik dengan apa yang dilakukan oleh Daud seterusnya:

"Dia pun menjauhi abangnya lalu beralih kepada orang lain dan menanyakan hal serupa. Lagi-lagi rakyat memberikan jawapan yang sama seperti sebelumnya." (1 Sam 17:30, AVB)

Ayat itu mengatakan bahawa Daud menjauhi abangnya dan beralih kepada orang lain... Daud tahu tidak ada faedahnya berkelahi dengan abangnya. Dia beralih kepada orang lain untuk meneruskan misi di hatinya. Dan ternyata bahawa Tuhanlah yang telah meletakkan misi itu dalam hati Daud sebab dalam ayat seterusnya dia mendapat panggilan untuk menghadap raja:

"Rupanya, kata-kata yang diucapkan Daud itu didengar orang lalu dilaporkan kepada Saul. Saul pun menyuruh orang untuk menjemputnya datang menghadap. Kemudian Daud berkata kepada Saul, "Janganlah ada seorang pun yang tawar hati kerana orang itu. Hambamu ini akan pergi bertarung menghadapi orang Filistin itu." (1 Sam 17:32)

Misi Daud Tercapai

Dan seterusnya Saul mengutus Daud untuk berlawan dengan Goliat. Lalu Daud mencapai misinya mengalahkan Goliat:

Demikianlah Daud menyerang orang Filistin itu dengan tarbil dan batu. Dihentam dan dibunuhnya orang Filistin itu tanpa sebilah pedang di tangannya. (1 Sam 17:50)

Mengfokus Kepada Misi Tuhan

Kita perlu tahu misi penting yang Tuhan berikan kepada kita. Kita tidak perlu terlalu menghiraukan tuduhan-tuduhan yang tidak munasabah yang dilemparkan oleh pihak tertentu. Kita tidak perlu membela diri dan berkelahi dengan sesiapa pun. Kita hanya perlu setia mengfokus kepada misi yang Tuhan berikan kita. Dialah yang akan membela kita dengan cara-Nya sendiri pada waktu-Nya.  

Selepas peristiwa itu, kita tidak membaca lagi mengenai Eliab yang telah menuduh dan menghina Daud. Sebaliknya, kisah riwayat hidup Daud yang terpahat dalam kitab suci sebagai hamba yang setia dan dipakai Tuhan.

Jadilah Seperti Daud!

Saya tidak hairan kalau Goliat yang merupakan musuh Israel mengeluarkan kata-kata cemuhan terhadap tentera Israel. Saya hairan apabila Eliab, abang Daud mengeluarkan kata-kata tuduhan dan penghinaan kepada adiknya sendiri. Begitu juga saya hairan kenapa ada sebilangan orang Kristian mengecam dan mengeluarkan kata-kata tuduhan terhadap saudara seimannya sendiri. 

Janganlah kita menjadi seperti Goliat yang mencemuh umat Tuhan. Janganlah kita menjadi seperti Eliab yang menuduh dan menghina saudaranya sendiri. Jadilah seperti Daud yang tidak melayani tuduhan-tuduhan yang tidak munasabah itu dan meneruskan misi penting Tuhan dalam hidupnya. 

Tuhan pasti memberkati orang-orang yang seperti Daud!