Pemimpin DAP Hannah Yeoh menyelar Menteri Wilayah
Persekutuan sementara Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kerana mendakwa DAP
sebuah parti chauvinis dan kebanyakan anggotanya terdiri daripada mubaligh
Kristian.
Sebagai seorang menteri sementara, Yeoh berkata, Tengku
Adnan "berbohong mengenai DAP dan Kristian".
"Kenyataan Tengku Adnan telah menyinggung DAP dan
masyarakat Kristian.
"Sebagai menteri persekutuan, dia harus menjaga
mulutnya dan tidak cuai dengan kata-kata. Kami menanti permintaan maaf daripada
beliau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu Tengku Adnan membuat dakwaan berkenaan di hadapan
kakitangan kerajaan ketika majlis pecah tanah dua buah surau di Putrajaya hari
ini.
"Kalau dia Katolik saya masih percaya lagi, (tapi) bila
dia evangelist, new christian, ini masalah," katanya.
Bercakap kepada Malaysiakini, Yeoh berkata beliau tidak
pasti kepada siapa Tengku Adnan mahu menyinggung perasaan mereka.
"(Dia) membahagikan penganut Katolik dan evangelist.
Macam mana sekalipun cara anda membacanya, ia menyakitkan hati. Dan kenapa
suapkan kakitangan awam dengan pembohongan," tambahnya.
Selain menimbulkan permusuhan antara penganut Katolik dan
evangelist, Yeoh berkata kenyataan Tengku Adnan akan turut menimbulkan
permusuhan antara orang Kristian dan agama lain.
"Sangat tidak bertanggungjawab bagi seorang menteri
persekutuan. Tetapi sekali lagi, mereka bertahan dengan pembohongan,"
katanya.
Ini bukan kali pertama DAP dituduh sebagai parti mubaligh
Kristian.
Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi tahun lalu
berkata undi kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) bermaksud undi bagi DAP yang
didakwanya dibayangi agenda mubaligh Kristian.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Hannah Yeoh Selar Ku Nan Mengenai 'Mubaligh DAP'" bertarikh 14 April 2018)