Khamis, 3 Mei 2018

Klopp: Ada Yang Lebih Penting Dalam Hidup Selain Menang Piala


Kelihatannya seperti doa-doa Jurgen Klopp telah dijawab selepas Liverpool mara ke akhir Liga Juara-Juara malam tadi. John Evelyn membawa kita meneliti lebih dekat iman pengurus itu.

Liverpool FC, salah satu kelab bola sepak terbesar di dunia telah mara ke akhir Liga Juara-Juara selepas bermain (dalam kata-kata pengurus mereka sendiri) perlawanan "yang gila-gila." 

Pasukan Reds itu telah memperoleh kemenangan agregat 7-6 yang mengujakan ke atas Roma malam tadi dan kini akan bertemu dengan Real Madrid dalam perlawanan akhir hujung bulan ini. 

Pengurus Jurgen Klopp telah lama menjadi tokoh popular di Jerman tempat kelahirannya oleh kerana sifatnya yang berterus terang dan kejayaan yang dia bawa kepada kelab lamanya Borussia Dortmund, di mana dia telah memenangi dua kejuaraan liga dan mara ke akhir Juara Liga-Liga Eropah. 

Syarikat kereta Opel telah memberi penghargaan kepadanya kerana membawa perubahan kepada nasib mereka di negara itu, dengan mengatakan peranannya sebagai duta telah membantu meningkatkan jualan model kebanggaan mereka sebanyak 35% pada 2014. Dia juga telah diraihkan dengan lagu-lagu pop, dengan personaliti media Matze Knop menuliskan lagu penghargaan bertajuk, "I Wanna Be Like Jurgen Klopp."

Tetapi apa yang anda mungkin tidak tahu mengenainya adalah dia seorang Kristian yang komited dan tidak segan menyatakan imannya. 

(Foto: France Football)

Sebelum menguruskan  Borussia Dortmund, Klopp menguruskan sebuah kelab Jerman yang lain, Mainz, dan selepas satu kekalahan telah ditanya oleh para wartawan samada "dewa bola sepak" tidak menyebelahi Mainz.

Dalam satu artikel mengenai imannya, dia menulis: "Untuk menjawab soalan ini sekali untuk selamanya: walaupun tidak ada dewa bola sepak, saya percaya ada satu Tuhan yang mengasihi kita manusia, seadanya kita, dengan segala keanehan kita, dan itulah sebabnya saya fikir Dia juga sukakan bola sepak! Tapi kita perlu sendiri jaringkan gol."

Tetapi artikelnya untuk fussball-gott.com (soccer-god.com) menjelaskan lebih dalam lagi. 

"Semua orang-orang ini yang benar-benar mudah disukai yang saya temui minggu demi minggu dalam perlawanan atau dalam sesetengah kes termasuk juga semasa latihan, ada satu persamaan: mereka telah menyedari pada satu peringkat karir mereka bahawa mesti ada sesuatu yang lebih utama dalam hidup daripada memenangi kejuaraan dan mengelakkan dari tersingkir.

"Mereka menceritakan bahawa perhubungan dengan Tuhan telah mengubah perspektif mereka."

Pada era di mana setiap pengurus baru yang berjaya dipuji kerana "falsafah bola sepaknya" yang baru, Klopp bertegas bahawa imannya lebih penting baginya berbanding permainan itu. 


Dalam satu temuramah dengan fr-online.de, dia berkata, "Untuk menjadi seorang yang beriman, tetapi tidak ingin mengatakan mengenainya - saya tidak tahu bagaimana itu mungkin! Jika sesiapa menanya mengenai iman saya, saya memberikan informasinya. Bukannya saya mengatakan diri saya seorang misionari. Tetapi bila saya memeriksa diri dan hidup saya - dan saya mengambil masa melakukan itu setiap hari - saya merasakan diri saya di bawah jagaan yang sungguh menakjubkan. 

"Dan saya rasa kasihan untuk orang lain yang tidak mempunyai rasa jaminan ini - walaupun sebenarnya mereka tidak menyedarinya, kalau sebaliknya mereka mungkin akan mencarinya."

Dia juga menceritakan bagaimana dia telah bergelut dengan persoalan penting berkenaan gaya hidup pada usia yang muda: "Pada lebih kurang 13, 14 tahun, persoalan itu timbul: Bolehkah saya sebenarnya main bola pada pagi Ahad, meskipun sebenarnya saya sepatutnya pergi ke gereja?"

"Tak mungkin saya memiliki perasaan dan cinta yang begitu mendalam untuk sukan ini, hanya untuk saya dihalang berlatih semata-mata kerana sejam di gereja pada hari Ahad - terutamanya bila ada begitu banyak masa dalam sepanjang minggu untuk iman. 

"Sejak dari masa itu, saya menyedari bahawa perkara itu jelas bagi saya." 

Penyokong-penyokong Liverpool telah meletakkan kepercayaan mereka pada Jurgen Klopp. Tetapi Klopp, kelihatannya tidak meletakkan kepercayaannya pada dirinya sendiri. 

(Diterjemahkan daripada artikel Premier Christianity bertajuk, "Klopp: The Christian Football Manager Who Says There Is More To Life Than Winning Trophies" yang ditulis oleh John Evelyn bertarikh 3 Mei 2018)