SG KANDIS | Pada malam terakhir kempen pilihan raya
kecil (PRK) Sungai Kandis, Anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul
Rahman memberi amaran kepada pengundi di kawasan itu mengenai pemimpin Kristian
dalam kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).
Bercakap kepada sekumpulan pengundi Melayu di Kampung Jawa
malam ini, beliau merujuk kepada video tular yang menunjukkan paderi Kristian
meraikan kemenangan HARAPAN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.
"Orang Kristian sudah mengambil alih, take
over kuasa Putrajaya dan negeri-negeri yang saya sebut tadi. Betul memang
betul.
"Sekarang ini menteri-menteri, tengok. Lim Guan Eng tu
Kristian, Anthony Loke Kristian, Tony Pua Kristian, Hannah Yeoh Kristian.
"Teresa Kok - Khalid Samad marah apabila saya kata
Teresa Kok ini satu-satu perempuan yang ada 'kok'," katanya disambut gelak
ketawa orang ramai.
Tajuddin mendakwa ahli-ahli politik DAP berkenaan
menggunakan kedudukan mereka dalam kerajaan untuk mengembangkan ajaran
Kristian.
"Nama-nama yang saya sebut ini mereka ini pengembang
agama Kristian. Mereka ini pengembang agama Kristian.
"Kita kena waspada. Dalam dia berpolitik, dia
menggunakan platform politik untuk mengembang, menyebar agama Kristian,"
dakwanya.
Lim merupakan menteri kewangan manakala Loke dilantik
sebagai Menteri Pengangkutan dalam kabinet perdana menteri, Tun Dr Maahthir
Mohamad.
Pua pula merupakan pegawai khas di kementerian kewangan,
manakala Yeoh merupakan timbalan menteri wanita, keluarga dan pembangunan
masyarakat. Kok pula dilantik mengetuai kementerian industri utama.
'Hapuskan raja-raja Melayu'
Ahli politik Umno itu juga mendakwa DAP berkuasa dalam
HARAPAN dan di sebalik keputusan dibuat Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad.
Beliau juga menjangkakan DAP suatu hari nanti akan
berusaha untuk menghapuskan raja-raja Melayu dan menjadikan Malaysia sebuah
republik.
"Jangka panjang, tuan-tuan, puan-puan ini penting ni.
"Beberapa hari nanti kalau boleh mereka nak hapuskan
raja-raja Melayu.
"Mereka nak tubuhkan satu sistem pemerintahan seperti
Singapore, tak ada raja tak ada sultan, tak ada Yang di-Pertuan Agong.
"Sistem republik - iaitu ketua negara terdiri daripada
siapa sahaja - boleh jadi Melayu, Cina, India," dakwanya.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "'Orang Kristian Sudah Ambil Alih Putrajaya'" yang ditulis oleh Annabelle Lee bertarikh 3 Ogos 2018)
------------------
Kemaskini 4 Ogos 2018 - Lim Kit Siang menjawab tuduhan Tajuddin:
"Tajuddin telah menuduh bahawa kerajaan dikuasai oleh menteri-menteri Kristian DAP seperti Anthony Lok, Tony Pua dan Hannah Yeoh. Saya tidak tahu bahawa Tony dan Hannah adalah menteri (mereka bukan), tetapi biarlah saya memberitahu Tajuddin bahawa walau pun Pua dan Loke mempunyai nama depan seperti Kristian, mereka bukanlah Kristian." - Lim Kit Siang, Malaysiakini, 4 Ogos 2018)