Khamis, 6 September 2018

Mengapakah Orang Pergi Ke Gereja? Kajian Ini Mendapati Ianya Bukan Kerana Khutbahnya


Satu bancian Pew Research Center baru-baru ini yang bertajuk, "Mengapakah Orang Amerika Pergi (Atau Tidak Pergi) Ke Kebaktian Agama?" telah menarik perhatian saya minggu ini. 

Terdapat banyak maklumat, tetapi inilah yang telah saya perolehi daripadanya:

Di kalangan orang dewasa yang menghadiri kebaktian gereja sekurang-kurangnya sekali atau dua kali sebulan, ketika ditanya untuk menentukan kedudukan (ranking) untuk sebab-sebab mereka menghadiri sebagai sangat penting, agak penting atau tidak penting, 81 peratus memaklumkan bahawa satu sebab yang sangat penting mereka pergi ke gereja adalah "untuk lebih dekat kepada Tuhan."

Enam puluh sembilan peratus mengatakan mereka menghadiri supaya anak-anak "mempunyai dasar moral" dan 68 peratus juga pergi "untuk menjadikan diri saya peribadi yang lebih baik."

Sebab kelima paling penting dalam senarai itu (59 peratus) berkata mereka pergi kerana mereka "mendapati khutbah-khutbah itu bermanfaat."


Jangan terlepas ini. Tiga jawapan paling tinggi yang diberikan orang adalah supaya mereka akan lebih dekat kepada Tuhan, anak-anak mereka akan mengikuti Tuhan, dan mereka akan jadi lebih seperti Tuhan.

Tetapi bukan itu sahaja. Menyoal dengan lebih mendalam, apabila ditanya untuk menyenaraikan sebab yang paling penting, 61 peratus menyatakan "untuk lebih dekat kepada Tuhan."

Tiada jawapan lain yang mendekati itu.

Hanya 8 peratus yang menjawab, "untuk menjadikan diri saya peribadi yang lebih baik," 4 peratus memberi respon, "supaya anak-anak saya akan membesar dengan dasar moral." Dan hanya 4 peratus yang berkata mereka pergi kerana "mereka mendapati khutbah-khutbah itu bermanfaat."


Jadi, sementara khutbah adalah penting, dan ramai orang membuat keputusan gereja mana yang mereka pergi berdasarkan sebanyak mana mereka suka khutbahnya, orang-orang rindu "untuk lebih dekat kepada Tuhan."

Saya fikir ini adalah kerana kebanyakan orang tidak merasa dekat dengan Tuhan sepanjang minggu. Mereka hidup di dunia nyata, dikelilingi kerisauan hidup seharian, godaan-godaan dosa, dan di kalangan kawan-kawan, keluarga dan rakan-rakan sekerja yang tidak percaya kepada Tuhan. 

Ketika tiba hari Ahad, jika itulah minggu yang mereka sebenarnya pergi ke gereja, mereka kelaparan secara rohani.

BAGAIMANAKAH INI MUNGKIN MENGUBAH KHUTBAH ANDA?

Kita tidak boleh melupakan apa yang orang perlukan. 

Mereka perlu pertolongan untuk lebih dekat kepada Tuhan. 

Banyak khutbah yang mengfokus kepada kehidupan moral, dan menjadi peribadi yang lebih baik, tetapi itu bukan keperluan nombor satu yang dirasakan oleh orang yang datang ke gereja anda. Perkara-perkara itu penting, tetapi keperluan asas mereka bukan perlakuan yang lebih baik, tetapi Tuhan yang lebih baik. 

Khutbah-khutbah lain mengfokus kepada visi gereja, mencabar orang untuk lebih memberi wang dan masa mereka untuk lebih lagi membantu misi. Itu juga penting. Tetapi keperluan asasi mereka bukanlah gereja yang lebih besar, tetapi Tuhan yang lebih besar.

Satu lagi kecenderungan khutbah mengfokus kepada pengetahuan Alkitab yang lebih banyak. Ini juga sangat baik. Tetapi keperluan asasi mereka bukanlah lebih pengetahuan Alkitab, tetapi untuk mengenal Allahnya Alkitab. 

Jadi, inilah soalnya yang kita semua perlu beri perhatian: dari permulaan sehingga akhir, ke manakah kebaktian gereja kita membawa orang?

Adakah kita hanya memimpin orang kepada perlakuan yang lebih baik, lebih penglibatan atau pengetahuan yang lebih banyak? Atau, adakah kita memimpin orang ke arah mengenal Tuhan, suatu pertemuan yang pada akhirnya mentransformasikan kehidupan mereka, dan menghasilkan semua yang di atas?

Orang tidak bodoh. Mereka tahu mereka perlukan Tuhan. Ramai cuma tidak tahu bagaimana untuk menemukan Dia.

Saya fikir ini adalah satu sebab mengapa sesetengah gereja semakin malap, dan sesetengah gereja semakin bertumbuh.

Gereja-gereja yang semakin bertumbuh mempunyai suasana bertenaga padanya di mana orang datang dengan jangkaan akan lebih mendekati Tuhan. Mereka menjangka akan merasakan hadirat-Nya, mendengar suara-Nya dan mengalami kasih-Nya.

Ini bukan mengenai anda, pastor. Anda cumalah utusannya. Anda cumalah orang yang berkata, "Lihatlah Tuhan! Lihatlah Firman-Nya! Inilah Tuhan sedang berbicara. Inilah yang Tuhan ingin katakan kepada anda hari ini."

Menurut bancian ini, menjadi sebahagian daripada suatu komuniti dan mendengar suatu khutbah yang bagus masih penting. Bagaimanapun, apa yang kebanyakan orang laparkan dan dahagakan adalah untuk mengalami hadirat Tuhan. Jadi dalam kebaktian anda minggu ini, bagaimanakah anda akan memimpin umat anda ke dalam hadirat Tuhan?

Jangan hanya memberi nasihat. Jangan hanya mengajar pelajaran moral. Jangan hanya sampaikan syarahan. Jangan hanya adakan acara gereja.

Bawalah orang ke dalam hadirat Tuhan, dan biarlah Tuhan yang memimpin dari situ.

Oh, dan ada satu tip bonus: Jika anda hidup dalam suasana neraka sepanjang minggu, adalah susah untuk memimpin orang ke syurga.

Anda tidak akan pimpin orang kepada Tuhan jika anda sendiri tidak berada dalam hadirat Tuhan. Oleh itu jika hubungan anda dengan Tuhan berkekurangan, mulalah di situ.

(Diterjemahkan daripada artikel Church Leaders bertajuk, "Why Do People Go To Church? This Study Found Its Not The Sermon" yang ditulis oleh Brandon Hilgemann bertarikh 27 Ogos 2018)