
Hampir tiga tahun lalu saya telah mengikuti satu perbincangan di sebuah kumpulan Kristian di Facebook. Dalam perbincangan itu, beberapa ahli kumpulan telah mengkritik lagu-lagu Kristian masa kini dengan mengatakan bahawa lagu-lagu itu kurang nilai teologinya.
Beginilah respons saya dalam perbincangan itu:
Pada pendapat saya, isu ini sebenarnya bukan mengenai
teologi dalam lagu. Ianya sebenarnya telah bermula dengan kesalahfahaman
terhadap lagu-lagu lama dan lagu-lagu masa kini.
Perbezaan Antara Lagu Lama dan Baru
Kalau kita dapat memahami perbezaan lagu-lagu lama (hymn) dan lagu-lagu baru
(kontemporari), maka kita akan dapat memahami mengapa pendekatan dan
penyampaiannya berbeza.
Lagu-lagu lama (hymn) lebih bersifat “singing about God” (menyanyi mengenai
Tuhan). Oleh itu, dalam lagu-lagu itu mengandungi penerangan mengenai Tuhan
yang mereka nyanyikan, mengenai sifat-sifat Tuhan dan sebagainya. Itulah yang
dikatakan sebagai teologi, sebab teologi bererti pengajian atau pembelajaran
mengenai Tuhan.
Dalam lagu-lagu dalam dua dekad yang akhir ini, terdapat peralihan daripada
lagu-lagu “singing about God” (menyanyi mengenai Tuhan) kepada lagu-lagu
penyembahan “singing to God” (menyanyi kepada Tuhan) yang lebih intim. Itulah
makanya lagu-lagu kini mempunyai senikata seperti “I love You, I draw near to
You” berbanding dengan lagu-lagu hymn yang lama yang berlirik seperti “Our God
Is A Mighty Fortress.”
Penyembahan Yang Lebih Intim
Peralihan kepada penyembahan yang lebih intim ini dapat diperlihatkan dalam
lirik-lirik lagu kini yang lebih bersifat peribadi, dan yang lebih bersifat
perhubungan. Oleh itu kadang-kala lagu-lagu penyembahan masa kini
disalahfahamkan menyerupai lagu-lagu cinta di dunia (kerana menggunakan bahasa
kecintaan dan perhubungan). Sesungguhnya lagu-lagu penyembahan masa kini adalah
lagu-lagu cinta kepada Tuhan, dan adalah tidak salah lagu-lagu itu menggunakan bahasa
kecintaan dan perhubungan antara penyembah dan Tuhan yang dicintainya. Jika
kita meneliti Kidung Agung, ianya menggambarkan bahasa hubungan antara kekasih,
dan itu adalah ibarat atau perumpamaan mengenai hubungan kekasih kita dengan
Tuhan.
Pendengarnya Yang Satu
Lagu-lagu ini bukan bersifat teologi pada asasnya sebab ianya berfungsi untuk
menyampaikan rasa hati kepada Peribadi yang dicintai. Ianya bukan lagu
pengajaran untuk menerangkan mengenai sifat-sifat Tuhan kepada
pendengar-pendengarnya, sebab dalam lagu penyembahan seperti ini, Pendengarnya
adalah satu iaitu Tuhan sendiri.
Teologi dan Perhubungan
Saya percaya bahawa Teologi (pembelajaran mengenai Tuhan) itu penting, tetapi
saya percaya perhubungan dengan Tuhan juga sama penting. Jika kita hanya
memiliki “pengetahuan” mengenai Tuhan semata-mata dan tidak memiliki
“perhubungan” dengan Tuhan, teologi itu tidak ada ertinya atau gunanya untuk
kita. Dalam kebaktian-kebaktian ibadah yang biasa kita ikuti, saya percaya
bahawa kita ada ruang yang mencukupi untuk memperolehi kedua-dua hal ini:
melalui waktu penyembahan dan waktu khutbah.
Kesimpulan
Kita tidak perlu menjadikan semua lagu penyembahan sebagai bahan pengajaran
atau teologi, kita boleh mengajar teologi melalui waktu khutbah (dan itu
sememangnya fungsi khutbah). Pada waktu yang sama, terdapat banyak lagu-lagu
pujian dan kemenangan masa kini yang bersaksi mengenai kebesaran dan
sifat-sifat Tuhan (dan di situlah Teologi diterapkan juga), tetapi apabila umat
rindu untuk masuk ke ruangan maha kudus dan menyembah muka ke muka dengan
Tuhan, kita tidak perlu lagi mensyaratkan bahawa lagu-lagu pertemuan yang intim
dengan Tuhan itu juga harus ada banyak kandungan teologinya. Sebab pada waktu-waktu
seperti itu umat datang bukan untuk mempelajari mengenai Tuhan, tetapi untuk
tunduk dan menyembah dengan penuh kerinduan kepada Tuhan yang mereka kenal.
- Si Domba Putih