Sabtu, 3 November 2018

"Selamat Hari Jadi Ayah" Ucapan Anak Pastor Raymond Koh


Selamat Hari Jadi Ayah. Sudah 628 hari berlalu sejak ayah diculik. Kami berdoa ayah akan terus kuat dan dipenuhi dengan pengharapan, kasih, sukacita dan damai meskipun penderitaan yang tak terbayangkan yang ayah sedang alami. Kami tahu ayah akan ok kerana Yesus di samping ayah. Kami menyayangi ayah dengan sepenuh hati kami. Rasa pedih ketiadaan ayah bersama kami untuk kali kedua sempena hari jadi ayah adalah lebih daripada yang kami dapat tanggung. 

Sejak hari ayah di bawa pergi, tak sehari pun berlalu tanpa ingatan ayah dalam hati dan fikiran kami. Kami tidak pernah henti berdoa untuk ayah, Dan kami tidak pernah henti berharap bahawa satu hari kelak ayah akan kembali ke rumah dengan wajah senyuman ayah. Kami tidak akan izinkan pembisuan, ketakutan dan penyembunyian fakta untuk menang di negara kami yang tercinta, baik kerajaan yang sebelum ini atau kerajaan PH sekarang. Kami berseru kepada kerajaan PH untuk mempertahankan hak-hak 4 warganegara yang taat dan benar dan memberi sumbangan, yang tidak melakukan kesalahan, dan yang telah dirampas dengan cara yang begitu tidak berperikemanusiaan dan menakutkan dan telah ditahan di tempat yang tidak diketahui dan diperlakukan dengan cara yang hanya Tuhan ketahui. 

Kami akan terus berpegang kepada kerajaan Pakatan Harapan agar bertanggungjawab untuk mencari dan melepaskan Raymond Koh, Amri Che Mat, Joshua Hilmy dan Ruth Sitepu. Oleh kerana kerajaan PH telah dipilih rakyat dengan kewajipan untuk melindungi hak-hak keluarga-keluarga yang berseru demi keadilan dan setiap warganegara yang tinggal di Malaysia termasuk mereka yang telah hilang sebelum pemerintahan mereka. Kini pemberi maklumat telah mendedahkan mereka yang terlibat, ianya adalah tanggungjawab kerajaan PH mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Cawangan Khas yang telah didakwa menculik ayah saya, Amri, Joshua & Ruth.

Kami berharap dapat melihat keempat-empat mereka kembali secara bebas di Malaysia tidak lama lagi.

Dengan kasih, Esther Koh

(Diterjemahkan daripada catitan Facebook Esther Koh bertarikh 2 November 2018)