Khamis, 17 Januari 2019

Isu Salib: TKM Pulau Pinang Saran Pemaju Lebih Hati-Hati


Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy menasihatkan syarikat pemaju di Pulau Pinang supaya lebih berhati-hati, susulan kontroversi bangunan yang memaparkan lambang salib di negeri itu.

“Kenapa undang masalah dengan paparkan apa yang boleh digunakan untuk memprovokasi kemarahan atau kebimbangan?

“Pemaju-pemaju di Pulau Pinang harus ada sedikit etika dan tanggungjawab sosial.

Katanya, penggunaan simbol keagamaan boleh diterima jika diletakkan di kawasan keagamaan tetapi tidak sebaliknya.

“Bagaimanapun, jika simbol-simbol keagamaan dipaparkan di kawasan bukan untuk tujuan keagamaan ia akan jadi masalah,” kata Ramasamy.

Minggu lepas, gambar bangunan tinggi di Jelutong yang cahayanya memaparkan simbol salib mencetuskan kehangatan di media sosial.

PAS menuduh pemajunya mempunyai agenda kristianisasi.

Bangunan itu kemudian menambah dua garis cahaya yang menunjukkan angka Cina bermaksud ong (nasib baik).

Dalam kenyataan hari ini, Ramasamy berkata kenyataan PAS dan pengkritik daripada Umno tidak mengejutkan.

Beliau mendakwa ia bermotifkan politik.

Bagaimanapun, katanya pemaju pangsapuri patut memperbetulkan perkara itu dan tidak memberikan sebarang ruang kepada “pencetus masalah”.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Isu Salib: TKM Pulau Pinang Saran Pemaju Lebih Hati-Hati" bertarikh 17 Januari 2019)