Jumaat, 11 Januari 2019

Reverend Alfred Tais - Jasamu Tetap Dikenang


Sebentar tadi saya telah mendapat berita daripada Facebook Awis Francis mengenai pemergian Reverend Alfred Tais. Beliau telah meninggal dunia setelah mengidap kanser tahap keempat selama beberapa bulan.

Beginilah yang telah ditulis dalam catitan Facebook itu, "Berita sedih. Saudara kita Rev. Pr. Alfred Tais telah menghembuskan nafas terakhir pada 11.14 am di hospital Putrajaya pada hari ini 11 Jan. 2019. Kita kehilangan PEMIMPIN BESAR rohani, namun apa yg ditaburnya selama ini mnjadi kemuliaan bagi Tuhan."

Rev. Alfred telah melayani bertahun-tahun sebagai Setiausaha Eksekutif NECF untuk bahagian Bahasa Malaysia dan Orang Asli. Melalui pelayanannya, beliau telah menjadi berkat kepada pastor-pastor, pemimpin-pemimpin dan gereja-gereja Bahasa Malaysia dan Orang Asli di seluruh negara.

Saya masih ingat perbualan terakhir saya dengan mendiang sewaktu saya ke NECF beberapa tahun yang lalu untuk membeli buku doa dan puasa 40 hari. Beliau menyapa saya dengan hormat dan berbual mesra dengan saya. Tiba-tiba beliau berkata, "Terima kasih kerana melayani orang-orang Sabah dan Sarawak." Saya terharu dengan ucapannya yang tidak disangka itu.

Kini Rev. Alfred telah tamat tugas dan pelayanannya di bumi. Begitu banyak yang telah dilakukannya untuk umat Tuhan di Malaysia. 

Saya juga ingin ucapkan kepadanya, "Terima kasih Rev. Alfred Tais atas pelayanan dan pengorbananmu untuk orang-orang Sabah, Sarawak dan Orang Asli khususnya, dan orang -orang Malaysia umumnya. Jasamu tetap dikenang."

Semoga Tuhan memberi penghiburan kepada keluarganya yang tersayang.