Rabu, 6 Mac 2019

Isteri Raymond Koh, Amri Che Mat Mahu Siasatan Baru



KUALA LUMPUR: Isteri kepada pastor Raymond Koh dan isteri pengasas Perlis Hope, Amri Che Mat berharap kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyiasat kebenaran sebalik kehilangan suami mereka.

Susanna Liew dan Norhayati Ariffin berkata siasatan kes kehilangan itu tidak sepatutnya terhenti kerana suspek masih bebas.

Mereka berharap kesungguhan yang ditunjukkan dalam siasatan terhadap skandal 1MDB turut diberikan kepada kes kehilangan suami mereka.

“Pasukan ini perlu beroperasi sepenuhnya dan mempunyai kuasa untuk mendakwa, menahan mahupun menggeledah dokumen yang dilindungi bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA),” kata Susanna kepada pemberita selepas mendengar siasatan awam ke atas kehilangan Raymond dan Amri di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia hari ini.

Mereka juga mahu dakwaan salahlaku polis dalam kes kehilangan Raymond dan Amri disiasat selepas kerajaan menerima laporan penuh daripada Suhakam.

“Selepas mendengar penyiasatan ini, ada sebab yang kukuh bahawa ini adalah satu kes kehilangan yang disengajakan,” kata Susanna.

Norhayati memberitahu pemberita bahawa pihak berkuasa seolah acuh tidak acuh sepanjang siasatan.

“Selama 2 tahun selepas kehilangan suami saya, polis tidak pernah sekali pun berjumpa dengan saya,” katanya.

Raymond diculik semasa memandu oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017.

Video insiden menunjukkan ia satu rancangan rapi melibatkan lebih daripada 10 lelaki dan 7 buah kenderaan.

Amri, 44, pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016.

Sebelum ini Norhayati berkata saksi ternampak 5 buah kenderaan menghalang laluan kereta Amri, sebelum beliau dibawa pergi, kira-kira 550m dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Isteri Raymond Koh, Amri Che Mat Mahu Siasatan Baru" yang ditulis oleh Omar Zin bertarikh 6 Mac 2019)