GEREJA diminta mengambil langkah berjaga-jaga dan
bekerjasama dengan polis menjelang upacara gereja hujung minggu ini, seminggu
selepas serangan bom di Sri Lanka yang menyaksikan pengebom bunuh diri
menyerang gereja dan hotel di negara itu.
Nasihat keselamatan turut dikeluarkan kepada pemimpin gereja
di negara ini dalam usaha untuk mengurangkan kegelisahan dalam kalangan
penganut Kristian selepas lebih 250 orang, termasuk 45 kanak-kanak terbunuh.
Kira-kira 500 mangsa masih dirawat di hospital.
Pekeliling turut dihantar ke beberapa komuniti gereja di
Kuala Lumpur pada hari Rabu memberitahu pengunjung gereja mengenai langkah
berjaga-jaga yang perlu diambil.
Gereja diminta hanya membuka pagar untuk upacara gereja atau
sesi sembahyang dan sekiranya terdapat beg atau individu yang meragukan perlu
dilaporkan kepada pentadbiran gereja secepat mungkin.
Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia Reverend Hermen
Shastri berkata, beliau turut bertemu dengan polis untuk sesi dialog.
“Saya harap ia sementara. Pihak gereja telah mengambil
tindakan dan polis kelihatan sensitif terhadap masalah keselamatan,” kata
Hermen kepada The Malaysian Insight.
“Kedua-dua Gereja Katolik dan CCM telah memaklumkan sidang
jemaah supaya lebih berhati-hati dan bekerjasama dengan pihak polis dalam
menjaga keselamatan tempat keagamaan.”
“Orang ramai tidak boleh mengambil mudah. Inisiatif itu
perlu diambil oleh orang-orang di tempat ibadat mereka sendiri dan mesti ada
kerjasama dengan pegawai penguatkuasa undang-undang, yang bertugas dalam
pakaian seragam atau pakaian biasa.”
Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia, Rev Hermen Shastri |
Susulan serangan bom Sri Lanka, pemangku Timbalan Ketua
Polis Negara Abdul Hamid Bador memberitahu The Malaysian Insight yang Malaysia
telah meningkatkan kawalan keselamatan di tempat ibadat.
Kawalan keselamatan ditingkatkan selepas seorang pelampau
kulit putih bertindak membunuh 50 umat Islam di dua buah masjid di
Christchurch, New Zealand bulan lalu, namun ia ditingkatkan lagi susulan
serangan di Sri Lanka, kata Hamid.
Sementara itu, notis dikeluarkan oleh Archdiocese Kuala
Lumpur semalam yang memetik ketua paderi Julian Leow meminta semua paderi
mengambil “langkah berjaga-jaga” untuk mengawal keselamatan rumah ibadat
“daripada sebarang insiden yang tidak diingini.”
“Selepas pembunuhan ratusan orang yang tidak bersalah sedang
beribadat di gereja dan tetamu di beberapa hotel di Sri Lanka, dan dengan
banyak yang cedera, timbul kebimbangan mengenai prosedur keselamatan dan
keadaan di gereja tempatan kita sendiri.”
Notis yang ditandatangani oleh canselor Reverend Michael
Chua, mengatakan seorang wakil Katolik, Monsignor Leonard Lexson, akan
mengadakan pertemuan dengan pihak polis untuk arahan selanjutnya.
Chua turut menggesa masyarakat tempatan agar tenang dan
“jangan biarkan ketakutan mengalang kita daripada menjalankan tanggungjawab
untik beribadat di gereja”.
Leow yang kini berada di luar negara tidak dapat dihubungi
untuk komen.
Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam serangan di Sri Lanka
yang mana kumpulan militan IS mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu. –
27 April, 2019
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Selepas Sri Lanka, Gereja Malaysia Ambil Langkah Berjaga-Jaga" yang ditulis oleh Bede Hong bertarih 27 April 2019)