Pesuruhjaya Suhakam, Mah Weng Kwai |
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam)
berkata walaupun inkuiri ke atas kehilangan aktivis Perlis, Amri Che Mat dan
Pastor Raymond Koh membenarkan khabar angin sebagai keterangan, dapatannya
berdasarkan kebolehpercayaan saksi.
Menjawab kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad
semalam bahawa kesimpulan Suhakam, iaitu polis bertanggungjawab ke atas
kehilangan Amri dan Koh, berdasarkan khabar angin, Pesuruhjaya Mah Weng Kwai
berkata, undang-undang membenarkannya menerima keterangan yang tidak boleh
dibawa masuk ke prosiding sivil atau jenayah.
“Kami tidak lepas pandang,” kata Mah, yang mempengerusikan
inkuiri itu, kepada pemberita hari ini.
“Kami pertimbangkan khabar angin, dan kami tidak melanggar
mana-mana peraturan yang terpakai ketika membuat kesimpulan itu.”
Mah berkata laporan penuh tentang penemuan itu akan
diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara, polis dan
agensi-agensi yang berkenaan.
Semalam, Suhakam berkata Amri dan Koh menjadi mangsa
kehilangan paksa oleh ejen-ejen kerajaan, dan menamakan Cawangan Khas Bukit
Aman sebagai pihak yang bertanggungjawab.
Kesimpulan itu berdasarkan testimoni isteri Amri, Norhayati
Mohd Ariffin, yang memberitahu inkuiri mengenai maklumat yang diperolehinya
daripada seorang anggota polis, Shamzaini Mohd Daud.
Shamzaini memberitahu suaminya dan Koh diculik Cawangan
Khas.
Mah berkata walaupun keterangan itu mungkin khabar angin, kesimpulannya
berdasarkan penilaian ke atas kebolehpercayaan saksi dan berat keterangan.
“Ia bukan berdasarkan ingatan lisannya sahaja, kerana
selepas mereka (Norhayati dan Shamzaini) selesai bercakap, dia mencatatnya
dalam buku nota, nama dan peristiwa yang disebut.
“Kecuali semua ini datangnya dari orang lain, Norhayati tak
boleh reka keterangan ini,” kata Mah.
Mah berkata satu pasukan petugas khas harus membuka semula
kes itu dengan serta-merta.
Beliau berkata beban pembuktian kini ditangan polis untuk
membuktikan ia tidak bersalah.
Pesuruhjaya Suhakam, Aishah Bidin |
Sementara itu, Pesuruhjaya Suhakam, Aishah Bidin berkata
keterangan Norhayati dianggap boleh dipercayai kerana dia menyebut nama
anggota-anggota Cawangan Khas yang dia tidak akan tahu jika pertemuan dengan
sarjan itu tidak berlaku.
“Oleh kerana dia tidak pernah berhubung dengan Cawangan
Khas, ia mengesahkan betapa beratnya keterangan itu.”
Beliau berkata inkuiri ditugaskan untuk mengimbangi
kebarangkalian dan memastikan sama ada kerajaan terlibat atau tidak ketika itu.
“Kita bukan mahkamah. Kita tidak mengenakan sekatan atau
hukuman. Apa yang kami boleh lakukan adalah membuat syor-syor.”
Aishah ambil maklum pada ketika ini tidak peruntukan dalam
undang-undang mengenai kehilangan paksa oleh kerajaan sama ada secara langsung
atau tidak langsung.
Beliau mencadangkan reformasi undang-undang memasukkan
kehilangan paksa, dan kerajaan menandatangani Konvensyen Antarabangsa Bagi
Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa 2006 (ICPED).
Aishah berkata inkuiri itu adalah yang pertama seumpamanya
dengan tuduhan yang kuat terhadap kerajaan.
“Jika kerajaan tidak ambil berat, saya fikir akan ada banyak
persoalan nanti,” katanya.
Amri hilang pada 24 November 2016 selepas keluar rumah,
manakala Koh diculik sekumpulan lelaki di Petaling Jaya pada 13 Februari 2017.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Suhakam Pertahan Dapatan Orang Hilang, Keterangan Boleh Dipercayai" yang ditulis oleh Ainaa Aiman bertarikh 4 April 2019)