PETALING JAYA: Polis hari ini menafikan Cawangan Khas Bukit
Aman terbabit dalam kehilangan aktivis Perlis, Amri Che Mat, susulan kesimpulan
dibuat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia selepas inkuiri selama 18 bulan.
Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun berkata seorang
pegawai yang enggan memberi keterangan kepada inkuiri itu hanya pekerja
kontrak.
Inkuiri itu diberitahu sebuah kereta milik seorang pegawai
Cawangan Khas, Saiful Bahari, dilihat berada dekat dengan lokasi Amri
dipercayai diculik.
Kegagalan Saiful memberi keterangan kepada inkuiri itu
menyebabkan Suhakam mendakwa polis tidak memberi kerjasama.
Fuzi berkata, polis sudah menyelesaikan siasatan mereka dan
sedang menunggu respons daripada timbalan pendakwa raya.
Sebelum ini, Fuzi dilaporkan berkata, tidak adil untuk
mendakwa polis kurang inisiatif dalam mengesan saksi kerana pihaknya sudah
berusaha, tetapi gagal mengesan saksi yang menghilangkan diri.
Selain Saiful, pemilik restoran, Saiful Afdzan juga hilang
apabila dipanggil untuk memberi keterangan kepada inkuiri Suhakam.
Amri ialah pengasas persatuan kebajikan, Perlis Hope
yang hilang sejak 24 November 2016, kira-kira 500m dari rumahnya di Kangar. Ada
yang mengatakan Amri menjadi sasaran atas dakwaan kecenderungannya
terhadap ajaran Syiah yang dianggap “sesat” oleh pihak berkuasa agama tempatan.
Pada 3 April lalu, Suhakam merumuskan Cawangan Khas terbabit
dalam kehilangan paksa Amri dan Pastor Raymond Koh.
Susulan itu, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata,
kerajaan akan membuka siasatan baru susulan laporan Suhakam itu.
Tetapi, perdana menteri berkata, bagi melaksanakan
siasatan itu, kerajaan akan menunggu sehingga ketua polis negara baru dilantik
kerana kesimpulan Suhakam itu membuat dakwaan terhadap Fuzi.
Fuzi yang dijadualkan bersara bulan depan, ialah ketua
Cawangan Khas ketika Amri hilang pada 2016.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Tiada Pegawai Cawangan Khas Terbabit Culik Amri, Kata KetuaPolis Negara" bertarikh 24 April 2019)