Selasa, 21 Mei 2019

2 Pastor Bergabung Sampaikan Seminar Cinta Di Kota Kinabalu


KOTA KINABALU: Pastor Edmund Kumar (Jelajah Cinta) dan Pastor Peter Claude de Run (Cinta Bijak 101) telah bergabung untuk menyampaikan seminar "Boy Girl Relationship" di Gereja All Saints di sini Sabtu lalu. 

Seminar dan forum mengenai perhubungan cinta ini telah diadakan khusus untuk pemuda-pemudi Kristian di negeri ini. Seramai 232 muda-mudi Kristian di Kota Kinabalu dan sekitarnya telah mengikuti seminar ini yang telah berlangsung dari 9 pagi ke 4.30 petang.


Ps Edmund Kumar tinggal di Kota Kinabalu dan adalah penyelaras Sabah untuk Prison Fellowship Malaysia. Dia juga adalah penceramah bebas dan penulis buku Kristian. Antara buku-buku yang telah ditulis olehnya adalah Pengembaraan Cinta: Indah Pada Waktunya (diterbitkan 2013) dan buku terbarunya, Jelajah Cinta: Menuju Kesempurnaan (2019).

Rev Peter Claude de Run tinggal di Kota Samarahan, Sarawak dan adalah pengasas dan pengajar Seminar Cinta Bijak 101. Dia dan isterinya, Suze adalah pengendali laman Facebook dengan nama yang sama "Cinta Bijak 101." Dia juga telah menulis buku Kata Cinta Bijak yang telah diterbitkan pada 2014.

Para peserta diberi kesempatan menanya soalan mengenai BGR

Ps Edmund telah menceritakan bagaimana seminar itu telah dimulakan, "Seminar Forum BGR datang sebagai suatu ilham atau idea pada bulan Februari 2019. Bersama dengan Ps. Peter saya telah mencadangkan tarikh untuk mengadakan seminar ini dengan tujuan menjawab persoalan-persoalan cinta orang Kristian di samping mengajar prinsip-prinsip percintaan Kristian yang sihat. Beban ini telah timbul daripada ratusan soalan dan masalah yang ditemukan dalam Facebook dan Instagram kami berdua."

Ps Edmund menambah lagi, "Selepas beberapa bulan, seminar ini telah berjaya dianjurkan di Gereja All Saints Cathedral pada 18hb Mei 2019. Para hadirin datang dari semua gereja-gereja lokal (Anglikan, Basel, SIB, RC, PCS, Baptist, Alfa & Omega dan lain-lain) dan berjumlah 232 peserta."

232 peserta dari pelbagai gereja telah mengikuti seminar ini

"Sebagai acara julung kali diadakan khusus untuk gereja-gereja lokal berbahasa Malaysia, kami anggap ini suatu kejayaan untuk kemuliaan dan kebesaran nama Tuhan Yesus Kristus sahaja. Doa saya dan para komiti yang telah bekerja keras di sebalik tabir ialah supaya jemaat dari pelbagai gereja bukan datang untuk mendapat 'a feel good time' tetapi untuk diajar dan dilengkapi untuk bercinta dengan sihat dan Alkitabiah," tambah Ps Edmund lagi. 

Peserta-peserta seminar juga telah memberikan maklum balas terhadap seminar ini. Pemilik akaun Instagram, carenlynjohn berkata, "Seminar yang sangat diberkati yang pernah saya ikuti untuk BGR dan jika ada acara lain seperti ini di masa hadapan, ini adalah acara yang sangat disyorkan. Terutama untuk para remaja. Ianya sangat alkitabiah dan banyak rahsia mengenai perhubungan dinyatakan melalui ayat-ayat Firman. Tambahan lagi, ianya berbeza dari seminar BGR lain, pastinya bukan seperti yang biasa diadakan dan ianya juga menjelaskan bahagian-bahagian yang sensitif dalam perhubungan. Dengan itu benar-benar bagus 👍 #JelajahCinta2019 #katacintabijak"


Suzy Masandul pula telah membuat hantaran di Facebook mengatakan, "Rasa hebat! & ianya sesuatu yang baru. Sesuatu yang tak pernah saya dengar sebelum ini. Saya tidak menyedari apa yang saya yakini selama ini adalah salah. Terima kasih banyak! Jawatankuasa @cintabijak101 @edmundkumar #JelajahCinta2019 #cintaBijak101 kerana memungkinkan ini. Harap dapat lakukan program seperti ini lagi untuk membimbing kami daripada kami mengikut apa yang dikatakan dunia."



Adakah seminar ini juga akan diadakan di tempat-tempat lain? Ps Edmund menjawab soalan itu dengan mengatakan, "Jikalau Tuhan izinkan, dan membuka jalan, maka seminar ini mungkin boleh menjadi acara tahunan di lokasi yang berbeza. Semoga nama Tuhan Yesus ditinggikan dan salib-Nya diagungkan."

Ps Edmund, Ps Peter dan AJK penganjur seminar BGR di Kota Kinabalu Mei 2019

Saya berharap seminar ini akan diadakan lebih kerap dan di banyak lagi tempat! Anak-anak muda kita memerlukannya! Apa kata anda?

- Si Domba Putih