Selasa, 28 Mei 2019

Beberapa Ahad Lepas, Saya Beribadah Di SIB Kingdom Worship Community, Kota Kinabalu

Ibadah di Gereja SIB Kingdom Worship Community, Kota Kinabalu


Oleh Brandon Douglas Juilis:

Pada 26 April 2019 bersamaan hari Jumaat, saya terbang ke negeri Sabah selepas berhempas pulas dan tenaga bersama dengan rakan seperjuangan untuk membentang Projek Tahun Akhir (2) di Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak. Suatu kelegaan dan ucapan syukur di hati pada masa tersebut setelah selesai melaksanakan segala tugas dan mengakhirkan kesibukan di dalam kampus bersama dengan rakan seperjuangan.

The Bunk Hostel di Kota Kinabalu

Saya menginap di hostel The Bunk untuk beberapa hari sepanjang berada di Kota Kinabalu kerana ianya berdekatan dengan tempat event persembahan DJ itu diadakan. Sepanjang memikirkan persiapan dan mengatur bajet kewangan selama berada di Kota Kinabalu, saya juga mengatur masa untuk hari Ahad bersekutu dengan Tuhan di sebuah gereja iaitu SIB Kingdom Worship Community. Saya lalu hubungi saudari Onnie Majimbu melalui WhatsApp pada masa tersebut berkenaan dengan kedatangan saya di Sabah dan akan ke gereja mereka pada esok harinya.

Event persembahan DJ dari Amerika Syarikat amatlah bernilai bagi saya kerana beliau merupakan rakan dari media sosial Facebook sejak 2013. Lane Terzieff merupakan seorang Kristian evangelikal dari Wyoming, Amerika Syarikat dan bekerja sebagai seorang pemuzik sepenuh masa. Kebetulan beliau dijemput untuk membuat persembahan di Kota Kinabalu, saya hadir untuk beri sokongan moral dan mencari inspirasi kerana saya juga mempunyai minat yang sama dalam muzik.

Penulis (kanan) bersama DJ Lane Terzieff dan isterinya di Imago Mall

Selepas persembahan beliau tamat jam 2 subuh, DJ Lane dan saya mengambil masa untuk berdoa untuk mengucap syukur untuk pertemuan bersama dan perjalanan event berjalan dengan lancar. Beliau memberikan kata-kata semangat dan mendorong saya untuk terus berdiri kukuh mengikuti Yesus walau bagaimana pun keadaan berlaku dalam hidup ini. Saya kembali ke tempat penginapan The Bunk dengan penuh sukacita dan bersemangat untuk ke Ibadah Ahad keesokannya.

Di Gereja SIB KWC

Saya bangun tepat jam 7 pagi dan kemudiannya check out dari tempat penginapan lalu menuju ke gereja SIB Kingdom Worship Community bersama dengan ibu rohani saya, puan Janet Furet. Semasa tiba di gereja tersebut, saudari Onnie Majimbu dan tim gereja menyambut kedatangan saya dan ibu rohani saya dengan penuh sukacita dan bertanya khabar. Tepat jam 10 pagi, kebaktian mulai berlangsung.

Poster Ibadah Raya SIB Kingdom Worship Community, Kota Kinabalu pada 28 April 2019

Semasa pujian dan penyembahan, muzik dan lagu yang dibawa oleh pemimpin pujian begitu energetik. Dalam penyembahan, lagu yang dibawa begitu menyentuh hati saya untuk mengambil masa mengucap syukur akan kebaikan-Nya yang tiada pernah berkesudahan. Khutbah disampaikan oleh Saudara Daniel Nijjar berkenaan dengan “Mengasihi”. Di sini, saya belajar bagaimana sebagai seorang Kristian harus mengasihi orang di sekeliling kita sekiranya kita benar-benar mengasihi Yesus. Jika kita tidak mengaplikasikan mengasihi, maka kita tidaklah sungguh-sungguh mengenali Tuhan Yesus.

Mulai dari saat itu, saya mengambil masa untuk berdiam di dalam-Nya dan meminta Tuhan Yesus untuk memampukan saya untuk melakukan Firman Tuhan dalam soal mengasihi.

Penulis berfoto dengan anggota-anggota gereja SIB KWC

Setelah selesai kebaktian, saudari Onnie mengajak semua jemaat untuk makan bersama di Restoran Boldly yang berdekatan dengan gereja mereka. Saya menikmati keenakan mee pok bersama dengan jemaat gereja ini dan juga menikmati perkongsian iman Kristian serta dorongan sesama. Jam 2 petang saya dan ibu rohani saya mulai bertolak balik dan akan ke lapangan terbang antarabangsa Kota Kinabalu untuk bersiap-sedia berlepas ke Kuching, Sarawak. Hujung minggu saya penuh dengan berkat. Saya pasti akan beribadah kembali di gereja tersebut pada Jun 2020 bersamaan dengan tarikh saya selesai pengajian saya di Universiti Malaysia Sarawak. 

Setibanya saya di Kuching, Sarawak tepat jam 7 malam, saya mengambil masa untuk mengucap syukur kerana kesempatan saya berdoa dengan DJ Lane Terzieff serta berbagi ilmu pengetahuan dalam industri DJ dan muzik dan kesempatan untuk beribadah di SIB KWC. Terima Kasih Tuhan Yesus !