Sekumpulan ahli kaji purba Poland mungkin telah menjumpai gereja tertua Mesir dalam satu penggalian baru-baru ini berdekatan bandaraya Iskandariah.
Para pakar itu telah menjumpai bekas runtuhan gereja abad ke-4 itu semasa melakukan penggalian di tapak gereja basilica, berdekatan pelabuhan kuno Marea, begitu dilaporkan oleh The First News. Ahli-ahli kaji purba sedang menggali di gereja abad ke-5 hingga ke-8 itu apabila mereka menemukan gereja yang lebih tua itu di bawah tapak itu. Gereja basilica itu telah dihancurkan oleh suatu gempa bumi.
Dr. Krzysztof Babraj dari Muzium Kaji Purba Krakow telah memimpin pasukan itu, yang telah bekerja memelihara basilica itu sejak tahun 2000. "Pada penghujung musim kajian terakhir, di bawah lantai basilica itu, kami telah menemukan saki baki runtuhan tembok, yang merupakan tembok luar gereja yang lebih tua," Babraj menjelaskan. "Ini adalah salah satu rumah ibadah Kristian yang tertua pernah ditemui di Mesir setakat ini."
Para pakar itu menentukan usia gereja lebih tua itu berdasarkan bentuk tembok batu kapur itu. Mereka juga telah menemukan serpihan seramik dan kaca. Kedua-duanya itu menunjukkan bahawa gereja itu adalah dari abad ke-4.
Tembok-tembok gereja itu telah dibina mengikut bentuk salib, yang merupakan kebiasaan bagi gereja-gereja zaman itu, begitu dilaporkan Ancient Origins.
Penemuan ini penting sebab para pakar tidak mengetahui mengenai apa-apa bekas runtuhan gereja dari Iskandariah. "Kini kita boleh tahu bagaimana rupanya gereja-gereja di situ," Babraj menjelaskan, "itulah sebabnya kenapa begitu penting untuk meneruskan kajian kami yang telah kami mulakan di gereja lama itu."
(Diterjemahkan daripada artikel The Stream bertajuk, "Oldest Church In Egypt Discovered, Archaeologists Say" yang ditulis oleh Nancy Flory bertarikh 4 Jun 2019)