Selasa, 30 Julai 2019

Polis Nafi Tahan Pasangan Disyaki Edar Risalah Kristian



SHAH ALAM: Polis menafikan telah menahan pasangan suami isteri yang disyaki mengedar risalah berkaitan ajaran Kristian di Klinik Kesihatan Bukit Kuda, Klang semalam, sebagaimana yang ditularkan media sosial.

Ketua Polis Klang Utara, Nurulhuda Mohd Salleh berkata polis hanya mengambil keterangan daripada kedua-dua pasangan berusia lingkungan 70-an itu selepas menerima aduan daripada orang ramai pada kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Siasatan awal mendapati pasangan itu merupakan penganut agama Kristian dan mereka tidak mengetahui tindakan mengedarkan risalah agama lain kepada penganut Islam adalah salah di sisi undang-undang.

“Pasangan itu mendakwa risalah itu tidak akan diberikan sekiranya seseorang itu menolak dan mereka juga memberitahu bahawa tujuan mereka mengedar risalah itu adalah sebagai mengucapkan rasa syukur kepada Tuhan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nurulhuda, siasatan lanjut mendapati, pasangan itu mengedarkan risalah berkenaan atas kapasiti peribadi dan bukan dibelakangi mana-mana pihak.

Mereka memberikan kerjasama yang baik sepanjang tempoh siasatan dijalankan dan telah dinasihati agar tidak mengulangi perbuatan itu, katanya.

Terdahulu tular satu maklumat di media sosial semalam mengenai kononnya polis menahan seorang wanita mubaligh Kristian yang berumur lingkungan 60-an kerana mengedar risalah agama kepada orang ramai termasuk mereka yang beragama Islam di klinik kesihatan berkenaan.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Polis Nafi Tahan Pasangan Disyaki Edar Risalah Kristian" bertarikh 30 Julai 2019)