Khamis, 29 Ogos 2019

Gereja Anglikan St Francis Di Kota Samarahan Akan Ditahbiskan Pada 29 September

Gereja Anglikan St Francis, Kota Samarahan (Foto: Dayak Daily)

Oleh Lian Cheng:

KUCHING, 29 Ogos 2019: Gereja Anglikan St Francis di Kota Samarahan yang telah siap dibina pada Mei tahun ini akan ditahbiskan oleh Bishop Sarawak dan Brunei, Reverend Danald Jute pada 29 September.

Gereja yang telah disiapkan dengan kos RM5 juta ini adalah pada waktu ini yang terbesar di daerah Kota Samarahan dengan kapasiti memuatkan lebih 1,000 para penyembah pada satu-satu waktu.

"Setakat ini, ianya adalah bangunan gereja terbesar di Daerah Kota Samarahan kerana ianya boleh memuatkan lebih daripada 1,000 orang. Kami inginkan sebuah bangunan yang boleh memuatkan lebih ramai orang tetapi oleh kerana saiz kawasan tanah yang terhad, inilah yang terbesar yang dapat kami bina," kata Rev Canon Dennis Gaming, vicar kawasan Samarahan memberitahu DayakDaily.

Dia berkata salah satu sebab gereja baharu perlu dibina adalah kerana bangunan gereja lama adalah terlalu kecil untuk memuatkan sidang jemaat masa kini. 

"Kami juga telah merobohkan bangunan gereja lama kerana ianya tidak sesuai lagi dengan persekitaran bangunan-bangunan baharu dan kemajuan.

"Daerah Kota Samarahan sedang membangun dengan pesat. Itulah sebabnya kami telah mengumpul dana untuk mendapatkan bangunan baharu ini supaya berpadanan dengan kemajuan yang sedang terjadi di kawasan ini. 

Gereja Anglikan St Francis Kota Samarahan telah siap dibina dalam 13 bulan
(Foto: Dayak Daily)

"Kami juga berharap kami dapat melayani keperluan pelajar-pelajar UiTM (Universiti Teknologi Mara) dan Unimas (Universiti Malaysia Sarawak)," kata Dennis.

Dennis percaya bahawa gereja itu dapat menampung kebaktian-kebaktian eukanimeka seperti Kebaktian Gabungan Krismas dan Kebaktian Hari Kebangsaan.  

Mengenai proses pembinaan bangunan yang telah bermula April tahun lepas, dia berkata seluruh projek hanya mengambil masa 13 bulan untuk disiapkan.

"Kos untuk bangunan adalah RM4 juta dan RM1 juta adalah perbelanjaan untuk perkakasan dalaman. 

"Kami sangat berpuas hati dengan kontraktor, Leyan Sdn Bhd. Jika bukan kerana terdapat sedikit kerja-kerja tambahan, seluruh bangunan pasti dapat disiapkan dalam setahun," katanya.

Gereja St Francis, Kota Samarahan pada waktu malam
(Foto: FB St Francis Parish Church Kota Samarahan)

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Dayak Daily bertajuk, "St Francis Anglican Church In Samarahan Set To Be Consecrated On 29 September" yang ditulis oleh Lian Cheng bertarikh 29 Ogos 2019)