Jumaat, 13 Disember 2019

Agong Hadir Majlis Santapan Bersama Ratu Elizabeth II



YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menghadiri majlis santapan tengah hari bersama Ratu Elizabeth II di istana Buckingham, semalam.

Sebaik tiba, Seri Paduka berdua yang menerima tabik hormat diraja disambut oleh Earl of Wessex, Putera Edward.

Pasangan diraja itu diiringi oleh anakanda, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Mohamad Sadik Kethergany.

Terdahulu Al-Sultan Abdullah melawat Westminster Abbey, yang juga satu daripada tempat ibadat tersohor di United Kingdom, dan yang menjadi tempat pemahkotaan serta pengebumian tradisional untuk raja-raja Inggeris.

Baginda turut meletakkan kalungan bunga di makam seorang askar British yang tidak dikenali, yang terbunuh di medan perang Eropah semasa Perang Dunia Pertama dan jasadnya dibawa ke gereja itu pada tahun 1920 dari tanah perkuburan medan perang di utara Perancis dan diberi pengebumian negara.

Seri Paduka turut meluangkan masa melawat Churchill War Rooms, kompleks bawah tanah bersejarah yang menempatkan pusat kawalan kerajaan British semasa Perang Dunia Kedua.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berada di UK untuk lawatan khas sehingga 16 Disember.

Ia adalah lawatan khas keempat Al-Sultan Abdullah selepas Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Jepun masing-masing pada Jun, Julai dan Oktober lepas, sejak ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Januari lalu. - Bernama

(Diambil daripada artikel Harian Metro bertajuk, "Agong Hadir Majlis Santapan Bersama Ratu Elizabeth II" bertarikh 13 Disember 2019)