Selasa, 11 Februari 2020

Isteri Pastor Raymond Koh Saman Polis


PETALING JAYA: Isteri pastor Raymond Koh yang hilang sejak 2017 memfailkan saman terhadap polis, selepas waris seorang aktivis Perlis yang hilang menyaman kerajaan dan pasukan keselamatan itu 4 bulan lalu.

Norhayati Mohd Ariffin, isteri kepada Amri Che Mat memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Nov tahun lalu untuk menuntut pelbagai ganti rugi atas penderitaan beliau dan anaknya akibat dakwaan kecuaian dan salah laku pihak berkuasa dalam siasatan kes kehilangan suaminya.

Susanna Liew akan mengadakan sidang media esok untuk mendedahkan butiran saman itu.

Koh dilaporkan diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya pada 13 Feb 2017, manakala Amri yang merupakan pengasas persatuan kebajikan, Perlis Hope, hilang sejak 24 Nov 2016, selepas meninggalkan rumahnya di Kangar.

Pada 3 April tahun lalu, inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ke atas kehilangan Koh dan Amri menyimpulkan 2 lelaki itu ialah mangsa kehilangan paksa membabitkan anggota polis Cawangan Khas.

Susulan itu, Putrajaya pada 26 Jun tahun lalu mengumumkan pelantikan bekas hakim Mahkamah Tinggi, Abd Rahim Uda untuk mengetuai pasukan petugas khas 6 anggota bagi menyiasat penemuan Suhakam.

Suhakam akan mengadakan inkuiri awam pada bulan depan untuk menyiasat kehilangan pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Hilmy yang kali terakhir dilihat pada 30 Nov 2016.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Isteri Pastor Koh Saman Polis" bertarikh 11 Februari 2020)