Khamis, 18 Mac 2021

Sarawak Tak Pernah Larang Penganut Kristian Guna Kalimah "Allah"


PETALING JAYA: Sarawak akan terus membenarkan penganut Kristian di negeri itu menggunakan kalimah “Allah”, ketika isu itu hangat dibincangkan pelbagai pihak.

Pejabat ketua menteri berkata, dasarnya terhadap toleransi beragama di Sarawak kekal konsisten sejak pemerintahan dua ketua menteri terdahulu sebelum Abang Johari Openg.

Katanya, tidak pernah ada sebarang larangan untuk penganut Kristian di Sarawak menggunakan kalimah “Allah”.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak akan terus mempertahankan dan memelihara toleransi beragama di Sarawak kerana ia merupakan faktor penyatuan utama bagi rakyat di negeri ini,” katanya dalam kenyataan.

Isnin lalu, kerajaan persekutuan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah “Allah” dalam pendidikan dan buku agama mereka.

Notis rayuan difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi, dengan salinannya diserahkan kepada pendaftar Mahkamah Rayuan serta peguam mewakili Jill Ireland, yang menang dalam permohonan semakan kehakiman itu baru-baru ini.

Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyeru kerajaan persekutuan meneruskan rayuan kes kalimah “Allah” dan akan mengarahkan Majlis Agama Islam Johor mengambil apa-apa tindakan perlu serta wajar untuk menyokong rayuan itu.

Sebelum ini, ADUN Muara Tuang, Idris Buang dilaporkan berkata, majoriti penganut Kristian di Sarawak menggunakan kalimah “Allah” sejak sekian lama untuk merujuk Tuhan dalam kitab Injil berbahasa Melayu atau Iban.

Katanya, tidak boleh ada monopoli terhadap kalimah “Allah” kerana orang lain juga boleh menggunakannya.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Sarawak Tak Pernah Larang Penganut Kristian Guna Kalimah 'Allah'" bertarikh 18 Mac 2021)