Ahad, 26 Jun 2022

Mimpi Mengenai Seorang Pengadil Bola Sepak


Oleh Si Domba Putih:

Pada malam tadi, saya bermimpi bertemu dengan seorang pengadil bolasepak profesional dari luar negara. Orangnya tinggi lampai dan dia dari salah satu negara Eropah yang terkenal dengan bolasepak. Saya sempat berbual-bual dengan pengadil itu.

Esok paginya, saya melihat pengadil itu mengadili permainan bolasepak di padang bola. Selepas permainan tamat, saya bertemu dengannya lagi dan bercakap sedikit dengannya sebelum berpisah.

Kemudian isteri saya datang, dan kamipun berjalan-jalan dan tak lama kemudian, kami melihat pegadil itu dari agak jauh di sebuah taman dengan berlatar belakangkan pokok-pokok, sedang menggerak-gerakkan sebuah layang-layang kecil berwarna merah di paras dadanya, ke kanan dan ke kiri. 

Dia melambai kepada kami dan kamipun melambai balik kepadanya. Lalu kamipun beredar dari tempat itu.

Saya terfikir kenapa dia menggerakkan layang-layang merah itu dari kiri ke kanan di paras dada. Tiba-tiba seperti saya tersedar bahawa dia bukan sedang bermain layang-layang sebenarnya. Dia sedang menggunakan layang-layang itu sebagai isyarat rahsia kepada seorang wanita yang tidak kelihatan kerana dia sedang menjalinkan hubungan sulit dengannya.

Saya tiba-tiba terbangun dari tidur dengan perkataan ini dalam fikiran saya, "Setinggi-tingginya kebolehan kita, seorang manusia itu diukur dari karakternya."

Saya fikir balik mengenai mimpi ini, dan saya fikir bahawa benarlah setinggi-tinggi kebolehan kita, setinggi-tinggi pengetahuan kita, dan setinggi-tinggi kejayaan kita dalam apa jua bidangpun, Tuhan menilai kita bukan dari semua itu, melainkan karakter dan kesetiaan kita.