Menurut sumber yang rapat dengan perkara itu, SIB memfailkan notis pemberhentian kes itu di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 25 April.
Pemberhentian gereja itu berlaku tujuh hari selepas kerajaan
persekutuan menghentikan rayuannya untuk membatalkan keputusan mahkamah yang
membenarkan warga Sarawak Jill Ireland menggunakan perkataan "Allah"
untuk tujuan agama dan pendidikan.
“Ia (semakan kehakiman SIB) telah dihentikan demi
kepentingan keharmonian negara,” kata sumber itu yang enggan namanya disiarkan.
Sumber itu juga menyatakan harapan bahawa "tiada lagi polemik"
mengenai isu itu, berikutan pemberhentian tindakan undang-undang SIB serta
rayuan kerajaan.
Malaysiakini cuba menghubungi wakil undang-undang kerajaan
mengenai kes SIB ini untuk mendapatkan maklum balas lanjut.
SIB dan Reverend Jerry Dusing memfailkan tindakan
undang-undang itu pada 10 Dis 2007, berikutan rampasan tiga kotak buku
pendidikan Kristian dalam Bahasa Malaysia yang mengandungi kalimah “Allah” oleh
Jabatan Kastam.
Rampasan itu dilakukan di Terminal Penerbangan Tambang Murah
ketika itu di Sepang pada Ogos tahun yang sama.
Buku-buku itu telah dikembalikan kepada SIB pada tahun 2008.