Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar dalam kenyataan berkata semua pihak juga perlu mengelak daripada terpengaruh dengan sentimen yang tidak berasas bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian beragama.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan
akan sentiasa bekerjasama dengan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam
melindungi dan memelihara dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung
isu penggunaan kalimah Allah dan lain-lain kalimah suci dalam agama Islam,”
katanya.
Terdahulu Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata penggunaan
kalimah “Allah” oleh penganut Kristian di Sarawak dalam penerbitan bahan agama
mereka bagi tujuan pembelajaran, hanya terpakai untuk Sarawak.
Penjelasan itu menyusuli keputusan kerajaan baru-baru ini
untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,
yang pada 2021 memutuskan bahawa seorang penganut Kristian dari Sarawak, Jill
Ireland, boleh menggunakan menggunakan kalimah “Allah” dalam pembelajaran
agamanya.
Hakim ketika itu, Nor Bee Ariffin, berkata arahan KDN pada 5
Dis 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Solat”, dan
“Kaabah” sebagai tidak konsisten dengan keputusan dasar Jemaah Menteri tahun
sama.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution mengingatkan semua
pihak bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu berkaitan
rampasan bahan penerbitan, bukan dari sudut ketuhanan.
Katanya lagi, KDN akan mengkaji dan mengemaskini arahan
“yang lebih menyeluruh” bagi menangani isu penggunaan kalimah tersebut agar
selari dengan kepentingan dan kemaslahatan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Sementara itu Mohd Na’im yakin KDN akan meningkatkan
pemantauan dan bertindak tegas terhadap sebarang bentuk pelanggaran
pengembangan doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam
selaras dengan Perlembagaan.