Perkataan lain yang terlibat ialah "baitullah",
"solat" dan "kaabah".
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata,
keperluan untuk mengkaji semula perkara itu adalah selaras dengan kepentingan
masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini, serta mewujudkan penyeliaan
dan kawalan yang lebih berkesan terhadap bahan penerbitan yang melanggar
peruntukan akta undang-undang.
“Sewaktu proses permohonan rayuan sedang berjalan, KDN turut
memperhalusi dengan teliti keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac
2021 yang mendapati terdapat percanggahan antara keputusan yang dibuat oleh
kabinet pada 19 Mei 1986 dan Arahan Pentadbiran yang kemudiannya dikeluarkan
oleh KDN pada 5 Disember 1986.
“Oleh yang demikian, KDN mengambil langkah mengkaji dan
mengemaskini satu arahan yang lebih menyeluruh bagi menangani is penggunaan
kalimah ‘Allah’, ‘baitullah’, ‘solat’, dan ‘Kaabah’ agar selari dengan
kepentingan dan kemaslahatan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia
serta penilaian dan kawalan yang lebih berkesan terhadap bahan-bahan penerbitan
yang menyalahi peruntukan perundangan yang berkuatkuasa,” katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Kenyataan ini hadir susulan keputusan kerajaan untuk menarik
balik rayuan berhubung keputusan membenarkan bukan Islam Sarawak Jill Ireland,
menggunakan perkataan "Allah".
Notis tidak meneruskan rayuan kes itu difailkan di Mahkamah
Rayuan pada 18 April lepas.
Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan
semakan kehakiman Ireland yang mahu mendapatkan pengisytiharan bahawa dia
mempunyai hak menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk tujuan agama dan pendidikan.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata keputusan Mahkamah Tinggi
Kuala Lumpur telah dibuat dengan menggunakan pendekatan perundangan sivil dan
pentadbiran iaitu isu berkaitan rampasan bahan penerbitan pada ketika itu dan
bukanlah dari sudut teologi ataupun apa jua yang melibatkan penggunaan kalimah
‘Allah’.
“Ini kerana, fungsi mahkamah itu sendiri adalah tidak
bersesuaian untuk memutuskan hal-ehwal berkaitan agama secara spesifik.
“Justeru, dalam penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
pada 10 Mac 2021, jelas bahawa hakim membuat keputusan berdasarkan pendekatan
secara pentadbiran dan tidak menyentuh mengenai penggunaan kalimah ‘Allah’
serta ianya didapati konsisten dengan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap
kes Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur lawan Menteri Dalam Negeri
pada tahun 2014.
“Bersangkutan dengan hal ini, keputusan kerajaan untuk tidak
meneruskan permohonan rayan tersebut adalah dibuat mengikut case-by-case basis;
tanpa menjejaskan fakta bagi setiap satu kes yang sedang dalam tindakan
mahkamah,” katanya.
Tambahnya, langkah yang diambil kerajaan untuk mengkaji dan
mengemaskini perkataan-perkataan tersebut dibuat dengan tujuan untuk memberi
perhatian kepada aspek ketenteraman awam selaras dengan Perkara 11(5)
Perlembagaan Persekutuan.
Peruntukan itu menyatakan bahawa kebebasan beragama tidaklah
membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am
yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau kemoralan.
“Di kesempatan ini, KDN ingin menyatakan komitmen terhadap
pencegahan penyebaran unsur-unsur yang memudaratkan ketenteraman awam melalui
tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap bahan penerbitan yang memudaratkan
atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam dari semasa ke semasa secara
berterusan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan
1984 (Pindaan) 2012 serta Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
KDN juga menegaskan Perkara 11(1) dan Perkara 11(4)
Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan walaupun setiap individu itu berhak
menganut dan mengamalkan agamanya, namun dia masih tertakluk kepada undang-undang
persekutuan atau negeri yang boleh mengawal atau menyekat pengembangan doktrin
atau kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam.
Perkara 11 (1) menyatakan tiap-tiap orang berhak menganuti
dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4).
Manakala Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan
bahawa: “Undang-undang negeri dan berkenaan dengan Wilayah-wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal
atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan
orang yang menganuti agama Islam”.