Isnin, 15 Mei 2023

Kalimah Allah: KDN Buat Keputusan Tak Teruskan Rayuan, Kata Saifuddin


PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri membuat keputusan untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah mengenai hak seorang penganut Kristian dari Sarawak menggunakan kalimah “Allah” bagi tujuan pembelajaran agamanya.

Menteri Saifuddin Nasution berkata beliau menyerahkan nota memaklumkan pendirian kementerian itu beberapa bulan lalu.

Beliau ditanya sama ada keputusan itu dibuat oleh Jemaah Menteri.

“Dalam hal ini, kalau tak silap saya, ia pendirian KDN dan saya perlu maklumkan kepada Jemaah Menteri, yang saya lakukan beberapa bulan lalu,” katanya kepada pemberita.

Saifuddin tidak mengulas lanjut namun akan memberikan lebih banyak maklumat pada sidang media akan datang.

Mahkamah Tinggi pada 2021 memutuskan bahawa Jill Ireland boleh menggunakan kalimah “Allah” dalam pembelajaran agamanya.

Jabatan Peguam Negara yang mewakili KDN memaklumkan kepada Mahkamah Rayuan pada 18 April bahawa ia tidak berniat meneruskan rayuan.

Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) selaku peguam berkata pihaknya hanya dimaklumkan tentang perkara ini pagi tadi.

Mahkamah Tinggi pada 20 Mac 2021 memutuskan Ireland boleh menggunakan kalimah “Allah” bagi tujuan pembelajaran agamanya dalam Bahasa Melayu dan bahasa ibundanya, Melanau, di Sarawak.

Hakim ketika itu, Nor Bee Ariffin, berkata arahan KDN pada 5 Dis 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Solat”, dan “Kaabah” sebagai tidak mengikut Perlembagaaan.

Katanya, Ireland berhak menggunakan dan mengimport sebarang penerbitan bagi tujuan pembelajaran agamanya.

Nor Bee berkata tidak boleh dipertikaikan bahawa larangan itu memberi kesan kepada penganut Kristian di Sabah dan Sarawak kerana mereka sudah lama menggunakan kalimah “Allah”.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan, Zainul Rijal Abu Bakar, berkata pihaknya kesal dengan keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan rayuan itu.

Beliau berkata tindakan itu tidak selari dengan keputusan mahkamah sebelum ini, bagi kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur bahawa ia tiada hak di sisi Perlembagaan untuk menggunakan kalimah “Allah” dalam akhbarnya, Herald – The Catholic Weekly.

Zainul berkata kerajaan harus menjelaskan kenapa mereka menarik balik rayuan itu.


(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Kalimah Allah: KDN Buat Keputusan Tak Teruskan Rayuan, Kata Saifuddin" yang ditulis oleh Tsubasa Nair bertarikh 15 Februari 2023)