Isnin, 15 Mei 2023

Kalimah Allah: Kerajaan Tak Teruskan Rayuan Terhadap Keputusan Mahkamah


PUTRAJAYA: Kerajaan tidak berniat meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah mengenai hak seorang penganut Kristian dari Sarawak menggunakan kalimah “Allah” bagi tujuan pembelajaran agamanya.

Jabatan Peguam Negara yang mewakili Kementerian Dalam Negeri memaklumkan keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan pada 18 April.

Mahkamah Tinggi pada 2021 memutuskan bahawa Jill Ireland boleh menggunakan kalimah “Allah” dalam pembelajaran agamanya.

Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) selaku peguam berkata pihaknya hanya dimaklumkan tentang perkara ini pagi tadi.

Pada Januari, mahkamah membenarkan tiga majlis itu bertindak seabgai rakan mahkamah (amicus curiae) dalam rayuan kerajaan itu, selepas mereka menarik balik permohonan untuk mencelah dalam rayuan tersebut.

Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) menarik balik permohonan sama pada September 2021.

Mahkamah Tinggi pada 20 Mac 2021 memutuskan Ireland boleh menggunakan kalimah “Allah” bagi tujuan pembelajaran agamanya dalam Bahasa Melayu dan bahasa ibundanya, Melanau, di Sarawak.

Hakim ketika itu, Nor Bee Ariffin, berkata arahan KDN pada 5 Dis 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Solat”, dan “Kaabah” sebagai tidak mengikut Perlembagaaan.

Katanya, Ireland berhak menggunakan dan mengimport sebarang penerbitan bagi tujuan pembelajaran agamanya.

Wanita itu memohon semakan kehakiman pada 2008 dan ia dengari pada 2017.

Pada 2008, kastam di KLIA merampas daripada Ireland lapan cakera padat bertajuk ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah’, ‘Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah’, dan ‘Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah’, yang dibawa masuk dari Indonesia untuk ke Sarawak.

Ireland pada mulanya memfailkan tindakan untuk mendapatkan kembali cakera padat itu dan relif.

Mahkamah Tinggi pada 2014 memerintahkan KDN memulangkan cakera padat itu tetapi tidak tumpu kepada perkara berkaitan Perlembagaan kerana ia terikat oleh keputusan Mahkamah Persekutuan.

Nor Bee berkata tidak boleh dipertikaikan bahawa larangan itu memberi kesan kepada penganut Kristian di Sabah dan Sarawak kerana mereka sudah lama menggunakan kalimah “Allah”.

Katanya, penganut Kristian di Sabah dan Sarawak menggunakan kalimah “Allah” selama 400 tahun, dan ia tidak mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Tahun berikutnya, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, tetapi ia diarah supaya mendengar permohonan Ireland, yang memohon mahkamah mengisytiharkan hak beliau untuk mengamalkan agamanya telah dilanggar dengan menyekat atau melarang pengimportan bahan pembelajaran.


(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today, "Kalimah Allah: Kerajaan Tak Teruskan Rayuan Terhadap Keputusan Mahkamah" bertarikh 15 Mei 2023)