Menteri Agama Mohd Naim Mokhtar berkata dalam Islam,
sebarang paksaan terhadap orang bukan Islam untuk memeluk agama itu adalah
tidak dibenarkan.
Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang
usaha yang boleh mencetuskan fitnah, permusuhan dan suasana yang tidak harmoni
dalam kalangan penganut agama di Malaysia.
Mengenai usaha dakwaan ada usaha untuk menukar agama
sebilangan komuniti di negara ini, Naim berkata tiada laporan berkaitan projek
tersebut diberikan kepada Jakim.
Beliau menjawab soalan Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran)
yang bertanya apakah benar pendedahan Mariam Mokthar baru-baru ini tentang
kewujudan satu usaha sulit menukar agama tertentu di Malaysia yang dijenamakan
sebagai “Projek Cinta”.
Mariam dalam satu video di YouTube mendakwa satu jabatan
kerajaan menyasarkan pelajar sekolah, wanita muda, Orang Asli, ibu tunggal dan
warga tua untuk menukar agama mereka kepada Islam.
Wanita itu mendakwa kes di mana keluarga Kristian menghantar
anak mereka ke sekolah berasrama dan apabila pelajar itu pulang ke rumah mereka
sudah memeluk agama Islam lengkap dengan MyKad.