Anwar berkata, terbaru Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin menyentuh isu kalimah Allah meskipun perkara itu telah ditegah oleh Raja-raja Melayu.
Bahkan kata Anwar, Sultan Selangor yang mempengerusikan
Majlis Kemajuan Islam (MKI) telah bertitah supaya isu kalimah Allah tidak
dijadikan modal politik.
"Apa yang tukarnya, apa perubahan isu Allah dua tahun
lepas dan sekarang, sama. Orang Melayu Islam boleh guna (kalimah) Allah orang
bukan Islam tak boleh. Jadi apa salahnya, sebab kita tak saman di mahkamah.
"Dua hari sebelum berangkat ke London, Tuanku Sultan
Selangor sebut lagi pada saya kita ada mesyuarat MKI hujung bulan Ogos kita
akan perkemaskan lagi isu kalimah Allah dan pesan baginda jangan jadikan ini
isu politik.
"Raja-raja Melayu pesan jangan jadikan kalimah Allah
isu politik, kerana Raja-raja akan perkemaskan. Tapi apa Muhyiddin kata, mereka
bangkitkan lagi isu kalimah Allah.
"Jadi mereka ini soal lawan raja terus terang, sebelum
Sultan Selangor murka sebab seorang menteri besar singgung raja-raja,"
katanya ketika berucap pada ceramah di Taman Tuanku Jaafar, di Seremban, malam
ini.
Hadir sama Menteri Besar sementara Negeri Sembilan,
Aminuddin Harun.
Semalam, Malaysiakini melaporkan Muhyiddin
mempersoal kewajaran kerajaan tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman
membabitkan kes kalimah Allah dalam kes Jill Ireland.
Semasa ceramah di Kapar, Selangor, Ahad lalu, Muhyiddin
mendakwa keputusan kerajaan menggugurkan rayuan kes Ireland pada Mei lalu
membuktikan bahawa pentadbiran Anwar bersetuju dengan keputusan mahkamah bahawa
penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah.
“Anwar Ibrahim jadi perdana menteri buat keputusan supaya
tidak rayu (kes itu), beza tak.
“Tapi Anwar sebagai perdana menteri, dia buat keputusan tak
rayu, bila kata tidak rayu, maknanya terimalah keputusan mahkamah setakat itu,
yang membolehkan orang-orang Kristian guna kalimah Allah,” kata Muhyiddin.
Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh tentang perbuatan
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang mempersenda institusi diraja
serta tindakan penyokong PN yang mengolah video Sultan Perak untuk dikaitkan
dengan sokongan politik.
Anwar berkata, Sanusi turut mendakwa Yang Di-Pertuan Agong
tidak pernah bertitah supaya Kerajaan Perpaduan dibentuk, manakala Muhyiddin
dengan jelas menolak pembentukan Kerajaan Perpaduan yang disarankan baginda.
"Raja payung negara jangan libatkan mereka dalam kancah
politik. Jangan kerana mulut.. jangan permainkan kedaulatan raja-raja. Ini
menteri besar tu dia kata Agong tak kata pun kerajaan perpaduan," kata
Anwar lagi.
Sanusi dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang pada 18 Julai
lalu atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan menteri besar
Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan.
Pertuduhan itu susulan ucapan menteri besar Kedah itu di
Selayang yang antara lain mendakwa Yang di-Pertuan Agong tidak menitahkan
pembentukan kerajaan perpaduan.
Dia juga membandingkan peranan sultan dalam pelantikan
menteri besar di Kedah dan Selangor.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Sanusi didakwa telah
melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut
perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia
terhadap mana-mana raja.
Sanusi bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Pemimpin PN Lawan Raja Terang-Terangan, Kata Anwar" yang ditulis oleh Haspaizi Zain bertarikh 3 Ogos 2023)